Pakar Kardiologi Jadi Mangsa, Imej Diguna Untuk Promosi Produk Kesihatan Tidak Diiktiraf

29/09/2024 07:37 PM

KUALA LUMPUR, 29 Sept (Bernama) -- Imej seorang pakar kardiologi tempatan dengan pengalaman 30 tahun dalam bidang perubatan Prof Dr Chin Sze Piaw tercalar, apabila sebuah artikel yang disiarkan secara dalam talian, didapati menggunakan nama beliau untuk mengendors produk ubatan herba merawat darah tinggi.

Beliau yang juga merupakan penyelidik tersohor dalam bidang sel stem melahirkan rasa terkejut, apabila baru-baru ini ditunjukkan oleh seorang pesakitnya, artikel yang memaparkan gambarnya mengendors satu produk, sedangkan beliau tidak pernah ditemu bual.

“Mereka menggunakan nama dan gambar imej saya, mereka membuat satu temu bual palsu. Dalam temu bual itu, mereka memetik saya sebagai berkata ada ubat darah tinggi yang telah diperakui telah menyebabkan kematian seorang pelakon terkenal Hollywood.

“Mereka kata saya minta orang ramai berhenti menggunakan ubat tersebut dan menggunakan ubat yang dipromosikan dalam artikel tersebut. Saya sebelum ini tidak tahu menahu pun mengenai ubat yang diendors dalam artikel tersebut,” katanya dalam sidang media di ibu pejabat MCA di sini hari ini.

Dr Chin berkata ubat-ubatan yang telah terbukti berkesan dalam ujian klinikal dan dipreskripsi doktor bertauliah kepada pesakit jantung, tidak seharusnya dihentikan pengambilannya kerana ia boleh menimbulkan komplikasi perubatan.

Dr Chin berkata fitnah sedemikian boleh dengan mudah mempengaruhi pengguna berhenti mengambil ubat-ubatan yang mampu menyelamatkan nyawa mereka kepada produk perubatan yang tidak diiktiraf, selain menasihatkan orang ramai untuk memeriksa ubat tersebut dengan doktor dan Agensi Kawal Selia Farmaseutikal Kebangsaan (NRPA).

Beliau berkata artikel yang dilihatnya pada 25 Sept di sebuah laman web peribadi, telah beliau laporkan kepada polis pada hari yang sama, dan kemudiannya membuat laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia pada 27 Sept.

Sementara itu peguam Datuk Joy W.Appukuttan yang mewakili Dr Chin berkata perbuatan itu dikenal pasti sebagai penyamaran, akuan palsu, kenyataan palsu dan penggunaan bahan palsu.

“Apabila anda menyamar sebagai seseorang untuk mendapatkan keuntungan, terdapat kanun keseksaan untuk polis ambil tindakan terhadap anda dan kemudian terdapat juga jenayah fitnah di bawah Seksyen 499, apabila anda melakukan sesuatu dengan niat untuk memburuk-burukkan seseorang.

“Kemudian terdapat maklumat mengelirukan di bawah Akta Komunikasi dan satu lagi perkara ialah penggunaan data peribadi yang menyalahi undang-undang. Mereka menggunakan data peribadi Prof Dr Chin untuk menyebarkan maklumat bagi mendapatkan keuntungan dalam mempromosikan produk itu,” katanya.

Ketua Biro Aduan MCA Datuk Seri Michael Chong yang mempengerusikan sidang media itu turut berkongsi pengalamannya, apabila gambar beliau digunakan dalam talian untuk menjual ubat bagi merawat  masalah mata, tiga tahun lepas.

Beliau berkata ubatan yang diendorsnya itu tidak diluluskan oleh Kementerian Kesihatan, malah telah menjadikan penglihatan penggunanya lebih kabur.

“Mereka gambarkan saya memegang herba dan meminta orang ramai untuk tidak guna ubat doktor. Selepas beli ubat itu, pesakit yang sepatutnya sembuh, penglihatan mereka menjadi lebih teruk,” katanya.

Michael berkata orang ramai perlu sentiasa merujuk kepada doktor mereka sebelum membeli atau menggunakan produk kesihatan yang diendors secara dalam talian, walaupun ia dilakukan oleh seseorang yang terkenal.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan