Kes Kemalangan Pelajar Meningkat Di Perak

30/09/2024 03:05 PM

IPOH, 30 Sept (Bernama) -- Sebanyak 622 kemalangan jalan raya melibatkan pelajar sekolah direkodkan sehingga Ogos lepas, meningkat 20 kes berbanding yang dicatat bagi tempoh sama tahun sebelumnya di negeri ini, kata Ketua Polis Perak Datuk Azizi Mat Aris.

“Saya harap semua pihak termasuk di peringkat kementerian, dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) mempertingkatkan lagi program advokasi yang melibatkan pelajar sekolah ini.

“Fokus di peringkat kita adalah untuk menangani kesalahan yang dilakukan (pelajar) berkaitan lalu lintas. Ia bertujuan mengurangkan kemalangan jiwa dan kecacatan anggota,” katanya selepas menghadiri Program Advokasi Kesedaran Keselamatan Jalan Raya Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik di Sekolah Menengah Kebangsaan Dato’ Haji Mohd Taib, Chemor di sini hari ini.

Azizi berkata selain kesalahan lalu lintas, pihak polis turut memberi fokus kepada kesalahan yang melibatkan narkotik dan jenayah.

Beliau berkata usaha secara berterusan perlu dilakukan kerana perkembangan terkini menunjukkan bahawa para pelajar sekolah merupakan golongan sasaran yang mudah terdedah kepada pelbagai aktiviti jenayah.

“Mereka kini bukan hanya terdedah kepada pelbagai jenayah berbentuk fizikal atau persekitaran, tetapi secara dalam talian (media sosial) juga menjadi antara tempat (perlakuan jenayah) boleh berlaku,” katanya.

“Selain itu, program advokasi yang dilaksanakan bersama sekolah bantuan penuh kerajaan ini akan diperluas ke seluruh institusi pendidikan swasta yang setaraf.

“Ini bagi memastikan berlaku pencegahan secara menyeluruh, dan pada masa sama platform (program) ini boleh digunakan bagi mengisi masa para pelajar dengan aktiviti yang bermanfaat,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan