GISBH: N.Sembilan Ambil Tindakan Selepas Dapat Keputusan Pihak Berwajib

30/09/2024 11:05 PM

SEREMBAN, 30 Sept (Bernama) -- Kerajaan Negeri Sembilan akan mengambil tindakan sewajarnya terhadap sebarang perkara berkaitan GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) di negeri ini selepas mendapat keputusan daripada pihak berwajib.

Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun berkata ketika ini kerajaan negeri menyerahkan sepenuhnya perkara tersebut kepada pihak berkuasa termasuk polis, jabatan agama negeri dan pihak berkuasa tempatan untuk tindakan susulan.

“Polis dah ambil tindakan mahkamah, dah dakwa (yang terlibat), siasatan juga berterusan, saya serah kepada mereka dan kita tunggu keputusan pendakwaan atau tindakan seterusnya.

“Kerajaan negeri akan melihat tindakan di pihak berwajib, Majlis Bandaraya Seremban hanya akan bertindak jika ada keputusan daripada mahkamah atau memang ada kacau ganggu kepada keadaan bandar raya, kalau tak kita tak ambil tindakan,” katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan penutupan Festival Kesenian Islam dan Karnival Kanak-Kanak Sihat dan Pintar peringkat negeri yang turut dihadiri Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan dan Pembangunan) Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) Rafea’ah Nahar di sini hari ini.

Polis  Diraja Malaysia melancarkan Op Global pada 11 Sept lepas dengan menyerbu 20 rumah amal di Selangor dan Negeri Sembilan yang dikaitkan dengan GISBH susulan dakwaan penglibatan dalam aktiviti eksploitasi kanak-kanak dan penyalahgunaan agama.

Sejak Op Global bermula lebih 300 individu termasuk pengurusan tertinggi GISBH ditahan dan 572 mangsa berjaya diselamatkan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan