Pesara Guru Rugi Lebih RM200,000 Akibat Sindiket Penipuan Telefon

02/10/2024 09:22 AM

KUALA TERENGGANU, 2 Okt (Bernama) -- Seorang pesara guru mengalami kerugian sebanyak RM201,900 selepas menjadi mangsa sindiket penipuan melalui panggilan telefon atau phone scam.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu ACP Azli Mohd Noor  berkata kejadian bermula pada 31 Ogos lalu apabila mangsa, seorang wanita berusia 65 tahun, menerima panggilan daripada individu yang mendakwa sebagai kakitangan Ampang Medical Centre.

Menurut beliau suspek memaklumkan kepada mangsa yang berasal dari Cendering, di sini, bahawa dia mempunyai tuntutan insurans sebanyak RM68,800, namun mangsa menafikan perkara tersebut.

"Suspek kemudian meminta mangsa membuat laporan polis kononnya terdapat penyalahgunaan maklumat peribadi," katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada 24 Sept lepas lalu, suspek kembali menghubungi mangsa dan mengarahkannya membuka akaun di Agro Bank dengan deposit awal sebanyak RM5,000, kononnya untuk tujuan pemantauan oleh Bank Negara Malaysia.

Mangsa turut diarahkan memindahkan sejumlah RM201,900 daripada akaun Tabung Haji miliknya ke akaun Agro Bank yang baharu dibuka.

“Curiga dan berasa ditipu, mangsa kemudian berkongsi kejadian tersebut dengan anaknya, yang segera membuat semakan baki dengan pihak Agro Bank," jelasnya.

“Hasil semakan mendapati baki wang dalam akaun mangsa hanya tinggal RM100, dan sebanyak 20 transaksi keluar telah dilakukan dari akaun berkenaan ke akaun bank yang tidak dikenali.

"Wang tersebut adalah hasil pampasan persaraan serta simpanan milik mangsa," kata Azli.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan