Polis KL Lupus Dadah, Peralatan Proses Bernilai RM36.43 Juta

02/10/2024 01:39 PM

KUALA LUMPUR, 2 Okt (Bernama) -- Polis Kuala Lumpur hari ini melupuskan barang kes melibatkan pelbagai jenis dadah dan peralatan memproses bahan terlarang itu bernilai RM36.43 juta. 

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Rusdi Mohd Isa berkata kesemua dadah dianggar seberat 474.7 kilogram (kg) dan 982.287 liter itu membabitkan 2,844 kertas siasatan yang dibuka sejak 2003 hingga tahun lepas. 

Beliau berkata kesemua barang kes itu dilupuskan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Polis Kuala Lumpur mengikut peruntukan Perintah Tetap Ketua Polis Negara D207 (Pelupusan Barang Kes) di Pusat Rawatan Sisa Kualiti Alam Sdn Bhd, Bukit Pelandok, Negeri Sembilan.

“Dadah utama dilupuskan terdiri daripada methamphetamine seberat 285.530kg bernilai RM34.43 juta, 70.244kg MDMA (RM1.05 juta), 8.815kg heroin (RM308,000) dan 8.671 kg kanabis (RM433,000). 

“… yang lain ialah 189.667 liter air ketum bernilai RM18,000 dan lain-lain bahan kimia digunakan untuk memproses dadah iaitu 1.914kg pepejal dan 786.320 ml cecair,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di sini hari ini. 

Mengulas perkembangan siasatan himpunan solidariti Palestin di Kedutaan Amerika Syarikat minggu lepas, beliau berkata pihaknya telah selesai merekodkan keterangan tujuh individu bagi membantu siasatan.

“Kita dalam proses melengkapkan kertas siasatan kes ini, tetapi keputusan sama ada pendakwaan atau sebaliknya akan ditentukan oleh Jabatan Peguam Negara dan kertas siasatan akan dirujuk dalam minggu ini,” katanya. 

Beliau berkata penganjur juga tidak mendapatkan kebenaran tuan tanah untuk mengadakan himpunan itu sepertimana disyaratkan di bawah Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2012. 

Sebelum ini, media melaporkan Ketua Polis Daerah Wangsa Maju ACP Mohamad Lazim Ismail berkata pihaknya membuka satu kertas siasatan berhubung perhimpunan solidariti yang tidak mematuhi peruntukan undang-undang yang diadakan di Kedutaan Amerika Syarikat di sini, Isnin lepas.

Beliau berkata Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Wangsa Maju telah membuka satu kertas siasatan di bawah Seksyen 9 (5) Akta Perhimpunan Aman 2012 dan proses dokumentasi ke atas semua peserta perhimpunan telah dibuat untuk siasatan lanjut.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan