Gagal Baiki Kenderaan Pelanggan Sebagaimana Perjanjian, Mekanik Didenda RM5,000

02/10/2024 02:33 PM

IPOH, 1 Okt (Bernama) -- Seorang mekanik bengkel kereta didenda RM5,000 oleh Mahkamah Majistret di sini semalam setelah gagal membayar tuntutan seorang pengguna yang mendakwa mekanik itu tidak menyiapkan pembaikan kenderaan sebagaimana dijanjikan dua tahun lepas.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak dalam kenyataan memaklumkan Muhamad Zamzam Mohd Razali, 28, dijatuhkan hukuman itu oleh Majistret  Farah Nabihah Muhamad Dan setelah gagal menyerahkan jumlah tuntutan sebanyak RM6,750 kepada pengadu dalam tempoh 14 hari dari tarikh award diserahkan.

Terdahulu, satu award telah dikeluarkan Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) Negeri Perak iaitu Muhamad Zamzam telah diperintahkan membayar jumlah tuntutan berkenaan kepada pengadu.

“Penentang (Muhamad Zamzam) telah gagal mematuhi award yang telah diperintahkan dan pada 1 Dis 2022, penentang telah dituduh di mahkamah atas kesalahan di bawah Seksyen 117(1) Akta Perlindungan Pengguna 1999 iaitu ketidakpatuhan award borang 8 oleh penentang selepas tempoh 14 hari.

“Pada masa itu, penentang tidak mengaku bersalah atas pertuduhan dan mohon untuk dibicarakan,” kata kenyataan itu.

Justeru, mahkamah telah mendapati pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan kes melangkaui keraguan yang munasabah dan telah menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM5,000 dan jika gagal membayar akan dipenjara selama lima bulan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa KPDN Perak Muhammad Ridzuan Abd Rahim.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan