Hantar Whatsapp Berbaur Lucah, Pegawai Bank Didakwa Di Mahkamah

04/10/2024 03:24 PM

IPOH, 4 Okt (Bernama) -- Seorang pegawai bank didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas dua pertuduhan mengaibkan kehormatan seorang wanita dengan menghantar Whatsapp berbaur lucah, tiga tahun lepas.

Rosman Jamaluddin, 52, mengaku tidak bersalah selepas kedua-dua pertuduhan itu dibacakan di hadapan Majistret S. Punitha.

Bagi kedua-dua pertuduhan, lelaki itu didakwa menghantar Whatsapp berbaur lucah kepada seorang wanita berusia 38 tahun dengan maksud hendak mengaibkan kehormatan dan mengganggu kesantunannya.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di sebuah premis di  Ipoh Garden East di sini pada 10.52 malam, 20 Mei 2021 dan 12.08 tengah malam pada 18 Ogos 2021.

Pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun, atau dengan denda, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Nurul Hidayu Zakaria menawarkan jaminan RM5,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan syarat tambahan dilarang mengganggu mangsa manakala peguam Khairil Azwar Khalil merayu jaminan dikurangkan kerana anak guamnya mempunyai penyakit darah tinggi dan slip disc selain menanggung isteri dan empat cahaya mata yang masih belajar serta seorang ibu.

Mahkamah menetapkan jaminan RM2,500 bagi kedua-dua pertuduhan dengan syarat tambahan tertuduh dilarang mengganggu mangsa dan 25 Nov ditetapkan untuk sebutan semula kes.

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan