Bekas Hakim Mahkamah Rayuan Diterima Masuk Sebagai Peguam Bela Dan Peguam Cara

04/10/2024 06:34 PM

KUALA LUMPUR, 4 Okt (Bernama) -- Bekas Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Yaacob Sam hari ini diterima masuk sebagai peguam bela dan peguam cara Mahkamah Tinggi Malaya.

Yaacob, 66, yang bersara pada 12 Mac lepas, hadir ke mahkamah bagi prosiding petisyen penerimaan masuk peguam bela dan peguam cara (‘long call’) di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Ahmad Kamal Md Shahid.

Dalam ucapan tahniahnya Ahmad Kamal berkata Yaacob, yang merupakan bekas ketua beliau di Jabatan Peguam Negara (AGC), sangat berpengetahuan dalam isu berkaitan perundangan. 

Peguam Datuk Mohd Yusof Zainal Abiden membantu Yaacob memakai jubah peguam.

Kemasukan Yaacob sebagai peguam bela dan peguam cara Mahkamah Tinggi Malaya diusulkan oleh peguam M. Athimulan. 

Athimulan dalam ucapannya berkata sepanjang tempoh pempetisyen berkhidmat sebagai Hakim Mahkamah Tinggi dan Hakim Mahkamah Rayuan, beliau telah menulis lebih 900 penghakiman bertulis dan 299 alasan penghakiman dalam pelbagai isu perundangan.

Pada Januari 2009, beliau dilantik sebagai Pesuruhjaya Kehakiman dan pada Ogos 2010 sebagai Hakim Mahkamah Tinggi Pulau Pinang. 

Pada 2012, beliau ditukarkan ke Shah Alam sebagai Hakim Mahkamah Tinggi dan merupakan Pengerusi Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasa (EAIC) selama tiga tahun, berkuat kuasa bermula 15 Okt, 2014.

Sementara itu, Ketua Bahagian Guaman AGC Donald Franklin bagi pihak Peguam Negara dan peguam Nik Nurul Atiqah Nik Yusof mewakili Badan Peguam Malaysia berkata mereka tidak mempunyai bantahan terhadap kemasukan bekas hakim itu.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan