Tiga Penghuni Berdepan Detik Cemas Rumah Dipecah Masuk Sekumpulan Perompak

04/10/2024 07:05 PM

SHAH ALAM, 4 Okt (Bernama) -- Tiga penghuni banglo tiga tingkat berdepan detik cemas apabila kediaman mereka disamun 12 individu bersenjatakan parang dalam kejadian di Jalan Jagong, Pandamaran, Klang, dekat sini semalam. 

Ketua Polis Daerah Klang Selatan ACP Cha Hoong Fong berkata dalam kejadian kira-kira 5 pagi itu kesemua suspek dipercayai warga tempatan tiba di hadapan rumah mangsa dengan menaiki dua kereta  sebelum memanjat tembok dan memecahkan jeriji pintu utama. 

Beliau berkata suspek yang kesemuanya bertopeng kemudian bertindak mengikat mangsa sebelum menggeledah banglo berkenaan serta melarikan wang tunai, patung sembahan dan barang kemas dengan anggaran kerugian sebanyak RM600,000. 

"Semasa kejadian, seorang penghuni berjaya menghubungi polis sekitar 6.16 pagi dan anggota peronda yang tiba di lokasi mengesahkan kejadian samun berkawan menggunakan parang," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Cha berkata seorang penghuni rumah iaitu lelaki berusia 37 tahun cedera di bahu kiri akibat ditetak dengan parang.

Polis sedang giat memburu suspek selain memohon kerjasama orang ramai untuk tampil memberikan maklumat di balai polis berhampiran atau menghubungi talian 03-33762222 bagi membantu siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 395 dan 397 Kanun Keseksaan.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan