Hina Agong: Iswardy Morni Diperintah Bela Diri 

04/10/2024 08:15 PM

KUALA LUMPUR, 4 Okt (Bernama) -- Mahkamah Sesyen di sini hari ini memerintahkan seorang aktivis membela diri atas pertuduhan mengeluarkan kenyataan menerusi laman sosial Facebook miliknya yang berbaur hasutan dan menghina Yang di-Pertuan Agong, tiga tahun lepas.

Hakim Datuk M.M. Edwin Paramjothy memutuskan demikian selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Iswardy Morni, 47, pada akhir kes pendakwaan.

“Setelah meneliti keterangan saksi pendakwaan dan hujahan kedua-dua pihak, saya mendapati pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh. Oleh itu, tertuduh diperintah membela diri,” katanya.

Prosiding itu dihadiri Timbalan Pendakwa Raya Iznina Hanim Hashim manakala tertuduh diwakili peguam Faizal Rahman.

Sebanyak sembilan saksi pendakwaan memberi keterangan pada perbicaraan kes itu yang bermula pada 3 Jan 2022.

Iswardy didakwa telah mengeluarkan kenyataan melalui Facebook miliknya Iswardy Morni Official dengan menyebut kata-kata menghasut yang mempunyai kecenderungan bagi mendatangkan penghinaan terhadap Yang di-Pertuan Agong di Pejabat Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman di sini pada 3 petang, 29 Mei 2021.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4 (1) (a) Akta Hasutan 1948 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 4 (1) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda hingga RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan