Imigresen Gempur Tanah Tinggi Lojing, Tahan 86 Pendatang Tanpa Izin

07/10/2024 03:05 PM

KOTA BHARU, 7 Okt (Bernama) -- Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kelantan menahan 86 pendatang tanpa izin dalam Operasi Bersepadu di kawasan pertanian di Tanah Tinggi Lojing, Gua Musang, Jumaat lepas. 

Pemangku Pengarah Imigresen Kelantan Nik Akhtarulhaq Nik Abdul Rahman berkata mereka terdiri daripada 20 lelaki warga Bangladesh, Nepal (empat lelaki) dan Myanmar (56 lelaki, enam wanita).

Beliau berkata berdasarkan aduan yang diterima dan hasil risikan, pihaknya mendapati kawasan pertanian tersebut disyaki menggunakan khidmat pendatang asing sejak lebih beberapa bulan lepas sebagai pekerja.

"Susulan itu Bahagian Penguatkuasaan JIM Kelantan bersama pelbagai agensi telah menjalankan operasi di 16 lokasi dekat rumah kongsi pekerja dan kedai makan bermula pukul 3 pagi, Jumaat lepas," katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata kesemua pendatang itu akan disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-peraturan Imigresen 1963 kerana pelbagai kesalahan dan telah dihantar ke Depot Imigresen Tanah Merah untuk tindakan lanjut.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat melibatkan berkaitan pendatang asing tanpa izin diminta melaporkan kepada JIM Kelantan dengan menelefon 019-9840377, dan identiti pemberi maklumat akan dirahsiakan," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan