43 Warga Myanmar Ditahan Dalam Operasi Di Komtar, Kawasan Sekitar

07/10/2024 03:21 PM

GEORGE TOWN, 7 Okt (Bernama) -- Jabatan Imigresen (JIM) Pulau Pinang menahan 43 pendatang asing dalam operasi di beberapa premis perniagaan di Komtar dan kawasan sekitar, semalam.

JIM Pulau Pinang dalam hantaran menerusi Facebook memaklumkan operasi dilakukan selepas bertindak atas aduan orang awam manakala kesemua yang ditahan hasil pemeriksaan terhadap 70 warga asing terdiri daripada pekerja dan pelanggan.

“Operasi melibatkan premis jualan makanan, kedai gunting rambut, pasar mini dan pusat refleksologi.

"Kesemua ditahan terdiri daripada 28 lelaki dan 15 wanita warga Myanmar berusia antara 23 hingga 45 tahun yang disyaki melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63,” menurut JIM Pulau Pinang.

Ketika pemeriksaan, sebuah restoran didapati bukan sahaja dikendalikan oleh warga asing disyaki tidak memiliki pas yang sah, malah kebersihan premis tidak memuaskan apabila terdapat lipas berkeliaran sekitar makanan disediakan.

Menurut hantaran itu, pihak JIM Pulau Pinang turut mengeluarkan 14 saman kepada saksi untuk mereka hadir memberi keterangan bagi membantu siasatan.

"JIM Pulau Pinang turut menjalankan siasatan terhadap pemilik perniagaan dan pemilik premis untuk dikenakan tindakan selaras dengan peruntukan undang-undang," menurut hantaran itu.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan