Pembunuhan Sosilawati: Hukuman Mati Bekas Peguam Dan Pekerja Ladang Dikekalkan

08/10/2024 03:48 PM

PUTRAJAYA, 8 Okt (Bernama) -- Mahkamah Persekutuan hari ini mengekalkan hukuman mati terhadap bekas peguam dan pekerja ladangnya kerana membunuh jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga pembantunya 14 tahun lepas.

Panel tiga hakim diketuai oleh Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat menolak permohonan dikemukakan oleh N. Pathmanabhan, 55, dan T. Thilaiyalagan, 33, untuk menyemak hukuman mati mereka.

“Dalam menggunakan budi bicara kehakiman kami dan dengan mengambil kira fakta serta keadaan kes, kami menolak permohonan tersebut. Hukuman mati dikekalkan,” kata Tengku Maimun.

Sementara itu seorang lagi bekas pekerja ladang R. Kathavarayan, 44, menarik balik permohonannya untuk menyemak hukuman mati yang kemudiannya diketepikan oleh panel. Ini bermakna hukuman mati Kathavarayan kekal.

Permohonan semakan ini dikemukakan dalam usaha untuk mengurangkan hukuman mati kepada hukuman penjara berikutan Akta Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023 yang berkuat kuasa 4 Julai tahun lepas.

Pathmanabhan, Thilaiyalagan dan Kathavarayan telah disabitkan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam pada Mei 2013 kerana membunuh Sosilawati, 47, pegawai bank Noorhisham Mohamad, 38, Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dan pemandu Sosilawati, Kamaruddin Shamsuddin, 44.

Mereka didakwa melakukan pembunuhan itu di Lot 2001, Jalan Tanjong Layang, Tanjung Sepat di Banting antara 8.30 malam dan 9.45 malam pada 30 Ogos 2010.

Rayuan mereka telah ditolak oleh Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan pada 4 Disember 2015 dan 16 Mac 2017.

Pada awalnya, terdapat empat lelaki yang didakwa tetapi Mahkamah Persekutuan membebaskan R. Matan, 33, setelah mendapati tiada bukti yang mencukupi untuk mengaitkannya dengan pembunuhan tersebut.

Pada permulaan prosiding hari ini peguam Latheefa Koya memberitahu mahkamah bahawa beliau telah menerima arahan daripada anak guamnya Kathavarayan, untuk menarik balik permohonan semakan, dan beliau telahpun memberi nasihat berhubung arahan itu, namun anak guamnya kekal dengan keputusan menarik balik permohonan. 

Peguam Manjeet Singh Dhillon dan Amer Hamzah Arshad yang mewakili Pathmanabhan dan Thilaiyalagan masing-masing meminta mahkamah menggantikan hukuman mati anak guam mereka kepada penjara.

Manjeet meminta mahkamah mempertimbangkan penderitaan, kesedihan dan kesunyian yang dihadapi Pathmanabhan semasa dipenjara.

Amer Hamzah pula memohon mahkamah mempertimbangkan bahawa anak guamnya Thilaiyalagan, adalah seorang pesalah muda yang berhak mendapat peluang kedua.

Timbalan Pendakwa Raya Datuk Mohd Dusuki Mokhtar dalam hujahnya supaya hukuman mati dikekalkan, menekankan bahawa empat nyawa tidak berdosa telah diragut secara kejam dalam kes itu.

Beliau berkata kesan darah yang ditemukan terpercik di dinding rumah ladang menunjukkan terdapat unsur-unsur ganas pada hari kejadian, dan saksi pendakwaan pula memberi keterangan bahawa dia mendengar jeritan di ladang pada hari kejadian.

Dusuki berkata kenyataan impak mangsa oleh salah seorang anak perempuan Sosilawati menyatakan bahawa dia tidak sanggup untuk mendengar perkataan "Banting," kerana ia akan menyebabkan dia trauma.

Beliau juga berkata mayat mangsa pula telah dibakar sepenuhnya.

Media sebelum ini melaporkan Sosilawati dan pembantunya hilang selepas ke Banting bagi urusan berkaitan tanah.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan