Tiga Lelaki Ditahan Disyaki Dera Kanak-kanak

08/10/2024 09:15 PM

SEREMBAN, 8 Okt (Bernama) -- Polis menahan tiga lelaki bagi membantu siasatan terhadap kes penderaan seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun  di sebuah rumah di Batu 4, Port Dickson, dekat sini.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Supt Maslan Udin berkata pihaknya menerima aduan daripada seorang wanita berumur 67 tahun melaporkan kanak-kanak itu ditemui dalam keadaan menangis dan terdapat luka pada bahagian tubuh badan pada 3 Okt lepas.

Beliau berkata siasatan mendapati kanak-kanak tersebut merupakan anak yatim yang kematian bapa dan ditinggalkan oleh ibu kandung sejak kecil lagi dan mangsa kemudian dijaga oleh pengadu di Klang, Selangor sebelum diserahkan kepada bapa angkat pada tahun 2021. 

"Sepanjang dalam tempoh jagaan pengadu, mangsa dalam keadaan baik dan sentiasa berhubung melalui panggilan video dan telefon sehinggalah pada awal bulan ini mangsa gagal dihubungi.

"Anak pengadu pergi ke rumah bapa angkat kanak-kanak itu mendapati mangsa dalam keadaan cedera, menangis dan diletakkan di atas lantai tanpa berpakaian," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata bertindak atas maklumat kesemua suspek yang berusia dalam lingkungan 32 hingga 36 tahun itu ditahan lebih kurang pukul 3 pagi pada 3 Okt lalu secara berasingan di Taman Desa Rusa dan Taman Dataran Segar, Lukut di sini.

Katanya mangsa yang berada dalam bilik di salah sebuah rumah juga berjaya diselamatkan.

“Suspek bekerja sebagai jurusolek dan hasil semakan rekod mendapati kesemua suspek mempunyai pelbagai kesalahan lampau melibatkan dadah dan jenayah. Ujian saringan air kencing mendapati salah seorang suspek juga positif dadah.

“Soal siasat awal mendapati punca suspek memukul mangsa kerana mangsa degil dan membuang air kecil di merata tempat di dalam rumah. Selain itu turut dirampas senjata yang digunakan iaitu rotan bulu ayam dan pemanas air,” katanya.

Beliau berkata suspek kini direman di Balai Polis Port Dickson sehingga Khamis sebelum pendakwaan dibuat terhadap seorang suspek lelaki berusia 36 tahun,  manakala yang lain dijadikan saksi pendakwaan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak Kanak 2001.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan