Belanjawan 2025: Polis Marin Mohon Tambahan Bot Ronda Di Sempadan Malaysia-Thailand

09/10/2024 10:26 AM

TUMPAT, 9 Okt (Bernama) -- Pasukan Polis Marin (PPM) memohon agar Kerajaan Persekutuan mempertimbangkan penambahan aset-aset PPM, termasuk bot ronda dalam Belanjawan 2025 yang akan dibentangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 18 Okt ini.

Komander PPM SAC Norzaid Muhammad Said berkata PPM Wilayah 3 Pengkalan Kubor mengalami kekurangan aset tersebut, yang diperlukan untuk memastikan penugasan PPM lebih mantap dalam melakukan rondaan dan pengawasan di sempadan perairan Malaysia-Thailand, khususnya di Sungai Takbai dan Sungai Golok.

Beliau berkata meskipun belum ada ancaman serius daripada penyeludup, PPM sentiasa berwaspada semasa menjalankan tugasan rondaan di sempadan.

“Oleh itu, PPM Wilayah 3 Pengkalan Kubor memerlukan penambahan dua buah bot ronda kerana isu penyeludupan barangan kawalan di sempadan Malaysia-Thailand menuntut usaha keras PPM dalam memastikan setiap sudut sempadan tidak dibolosi dengan mudah.

“Tindakan penambahan bot ini juga akan memerlukan peningkatan anggota PPM, dan kami berharap jumlah keanggotaan di Markas PPM Wilayah 3 akan dipertingkatkan,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Sementara itu, Norzaid berkata setiap pegawai dan anggota yang menjalankan tugas rondaan di perairan diwajibkan untuk memakai jaket kalis peluru dan helmet bagi memastikan keselamatan mereka terjamin.

“Setakat ini, keperluan tersebut masih mencukupi, tetapi sekiranya terdapat keperluan untuk penambahan, kami akan membuat permohonan kepada pihak pimpinan tertinggi PDRM,” katanya.

Beliau juga menekankan bahawa PPM sentiasa bekerjasama dengan Pasukan Gerakan Am dan pihak berkuasa Thailand dalam menangani isu penyeludupan di sempadan Malaysia-Thailand.

“Oleh itu, PPM juga meminta pihak berkuasa Thailand agar sentiasa menasihatkan penduduk di negara itu untuk mengelakkan diri daripada terlibat dalam aktiviti jenayah rentas sempadan,” tambahnya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan