Dua Lelaki Ditahan Peras Ugut, Menyamar Sebagai Polis

09/10/2024 11:14 AM

KOTA TINGGI, 9 Okt (Bernama) -- Polis menahan dua lelaki tempatan yang disyaki terlibat dengan kes pemerasan dan penyamaran sebagai anggota polis di Bandar Tenggara di sini semalam. 

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Supt Yusof Othman berkata pihaknya menerima laporan daripada seorang lelaki warga asing berusia 38 tahun yang kerugian wang tunai RM1,300 akibat kegiatan itu kira-kira 11.55 malam Isnin lepas. 

Beliau berkata bertindak atas maklumat, sepasukan polis dari Balai Polis Bandar Tenggara telah melakukan tangkapan ke atas kedua-dua lelaki berusia 20 tahun itu di Bandar Tenggara kira-kira 12.30 tengah malam Selasa. 

"Kita juga telah merampas sebuah motosikal jenis Honda Wave 125 yang dipercayai digunakan oleh mereka bagi melakukan jenayah terbabit. 

"Hasil siasatan awal mendapati kedua-dua mereka dipercayai terlibat dengan satu kejadian samun yang menyasarkan warga asing di Jalan Pahlawan pada 22 Sept lepas," katanya dalam kenyataan hari ini. 

Yusof berkata hasil ujian air kencing mendapati kedua-dua individu itu negatif dadah. 

"Kedua-dua mereka dibenarkan menjalani reman selama empat hari bermula semalam hingga Jumaat ini oleh Majistret Kota Tinggi dan kes disiasat di bawah Seksyen 384 dan Seksyen 170 Kanun Keseksaan. 

"Sehubungan itu, kita memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian ini agar tampil di mana-mana balai polis berhampiran atau menghubungi bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Tinggi di talian 07-883 7222," katanya. 

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan