BERITA TERGEMPAR   Flood preparation: 459 PPS identified in Kelantan, capable of accommodating more than 100,000 victims - MB | 

Polis Johor Lupus Dadah Bernilai RM68.8 Juta

10/10/2024 02:49 PM

JOHOR BAHRU, 10 Okt (Bernama) -- Polis Johor melupuskan pelbagai jenis dadah bernilai RM68.88 juta yang dirampas dari seluruh negeri ini sejak 2000 hingga tahun lepas. 

Ketua Polis Johor Datuk M Kumar berkata dadah terbabit melibatkan 6,630 kes yang telah selesai proses prosiding mahkamah dan mendapat arahan dilupuskan. 

“Kesemua kes ini telah disabitkan hukuman dan sudah melalui proses rayuan. Barang-barang yang akan dilupuskan hari ini telah selesai sepenuhnya dari sudut perundangan dan proses mahkamah. 

“Ia mengambil masa lama dari tahun 2000 kerana kita perlu menunggu proses mahkamah sehingga peringkat rayuan terakhir dan ada kes yang dituduh di mahkamah dibicarakan di Mahkamah Tinggi, proses rayuan adalah sampai ke Mahkamah Persekutuan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini hari ini.

Beliau berkata semua proses pelupusan itu akan dibuat di Bukit Pelanduk, Negeri Sembilan oleh Syarikat Kualiti Alam Sdn Bhd dengan membabitkan kos RM73,000.

“Proses pelupusan itu akan dikawal ketat polis pengiring bermula dari pergerakan di IPK Johor ke lokasi sehingga tamat sepenuhnya proses berkenaan hari ini,” katanya sambil menambah pelupusan itu melibatkan berat keseluruhan 989.21 kilogram (kg) dadah dan 7,479.9 liter cecair dadah.

Beliau berkata antara dadah yang dilupuskan adalah heroin seberat 53.36 kg, kanabis (19.86 kg), ketamin (45.27 kg), methamphetamine (446.21 kg), methylenedioxymethamphetamine (MDMA) (1.16 kg) dan daun ketum (339.12 kg).

“Tahun lepas, kita telah melupuskan pelbagai jenis dadah dan peralatan berkaitan dengan nilai keseluruhan RM5.43 juta melibatkan 3,214 kes yang telah berjaya diselesaikan,” katanya. 

Sementara itu, Kumar memaklumkan sejak 1 Jan hingga semalam, seramai 19,726 individu telah ditahan atas pelbagai kesalahan dadah di Johor melibatkan rampasan dadah bernilai RM58.35 juta dengan berat 5.48 tan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan