'Love Scam': 20 Warga Asing Didakwa Menipu

10/10/2024 04:24 PM

JOHOR BAHRU, 10 Okt (Bernama) -- Seorang rakyat Taiwan dan 19 warga China dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini kerana didakwa melakukan pakatan jenayah penipuan berkaitan ‘Love Scam’. 

Kesemua tertuduh berusia 21 hingga 36 tahun itu mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Mandarin oleh jurubahasa mahkamah, di hadapan Majistret Hidayatul Shamsudin.

Mengikut pertuduhan Wu Wen Jung (warga Taiwan), He Ne, Guang Liang, Jin Yi Hao, Zhang Wei, Liu Zhi Rong, Li Ya Xuan, Ran You, Zhang Shi Han, Zhao Run Qiang, Lu Ye Ri, Li Peng, Yu Liang, Liu Bing, Liu Lin, Li Jua Gang, Chen Kui Peng, Zhi Xiao Bo, Zhao Ke Yu dan Wang Yin Cheng melakukan pakatan jenayah memperdayakan mangsa melalui ‘Love Scam’, dan dengan curang mendorong mangsa menyerahkan wang.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah kediaman di kawasan Horizon Hills, Iskandar Puteri pada pukul 12.30 tengah hari, 23 Sept lepas.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum dibawah Seksyen 120B (2) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih enam bulan atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya R Nevina manakala kesemua tertuduh diwakili peguam Goh Sze Han dan Ahmad Yusri Ahmad Fuad.

Mahkamah menetapkan jaminan RM8,000 bagi setiap tertuduh dengan dua orang penjamin warga tempatan selain perlu melapor diri di balai polis berdekatan setiap bulan, dan sebutan semula kes untuk serahan dokumen ditetapkan pada 18 Nov.

Sementara itu Ketua Polis Johor Datuk M Kumar dalam kenyataan berkata kesemua tertuduh ditahan pada 23 Sept hasil serbuan dan pemeriksaan di sebuah kediaman di Horizon Hills.

Beliau berkata rumah terbabit disyaki digunakan sebagai tempat operasi pusat panggilan yang menyasarkan warganegara asing di luar negara sebagai mangsa.

“Dalam serbuan ini pihak polis merampas peralatan yang digunakan dalam aktiviti berkenaan seperti komputer dan telefon bimbit,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan