Imigresen Serbu Rumah Kedai Terbiar Dijadikan Sarang Pelacuran

10/10/2024 05:05 PM

PELABUHAN KLANG, 10 Okt (Bernama) -- Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) hari ini menggempur sarang pelacuran warga asing di kawasan rumah kedai terbiar di Jalan Kem di sini yang dipercayai aktif selama lebih dua tahun. 

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JIM Jafri Embok Taha berkata dalam operasi dua jam itu, seramai 60 warga asing diperiksa dengan 58 daripada mereka ditahan atas kesalahan di bawah Akta Imigresen. 

Beliau berkata mereka yang ditahan terdiri daripada 28 lelaki dan 30 wanita melibatkan warga Bangladesh, India, Indonesia dan Pakistan, berumur antara 24 hingga 60 tahun.

“Berdasarkan maklumat awam kita telah menjalankan risikan di sini kira-kira dua hingga tiga bulan dan telah mengenal pasti terdapat kehadiran warga asing yang tinggi bagi melakukan aktiviti tidak bermoral. 

“Pemeriksaan kita mendapati kawasan rumah kedai usang ini dijadikan bilik untuk mereka menetap dengan kadar sewaan kira-kira RM400 ke RM500 sebulan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas tamat operasi sekitar 12.30 tengah hari tadi.

Jafri berkata kesemua yang ditahan dibawa ke Depoh Imigresen Pekan Nanas, Johor untuk siasatan lanjut. 

Tinjauan Bernama ketika operasi mendapati persekitaran dalaman premis itu kusam dan berbau kerana ketiadaan pengudaraan yang baik selain dipenuhi kondom dan minyak pelincir. 

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan