Hukuman Mati Azilah Diganti Kepada Penjara 40 Tahun, 12 Sebatan

10/10/2024 06:08 PM

PUTRAJAYA, 10 Okt (Bernama) -- Mahkamah Persekutuan telah menggantikan hukuman mati terhadap bekas ketua inspektor Azilah Hadri kerana membunuh wanita Mongolia Altantuya Shaariibuu pada 2006, kepada hukuman penjara 40 tahun.

Panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan yang diketuai oleh Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat hari ini membenarkan permohonan semakan Azilah untuk menggantikan hukuman mati yang dijatuhkan terhadapnya, kepada hukuman penjara.

Mahkamah turut menjatuhkan hukuman 12 sebatan dan memerintahkan hukuman penjaranya bermula dari tarikh dia ditahan pada 1 November 2006, tidak termasuk tempoh kira-kira satu tahun empat bulan semasa dia dibebaskan oleh Mahkamah Rayuan pada tahun 2013.

Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim dan hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Nordin Hassan turut menjadi anggota panel hakim itu.

Dalam keputusan sebulat suara, Hakim Tengku Maimun berkata afidavit sokongan Azilah memberikan faktor pengurangan hukuman yang kukuh dan alasan yang sah untuk mahkamah menggunakan budi bicara yang memihak kepadanya.

Tengku Maimun berkata afidavit itu turut megemukakan surat daripada bapa mangsa yang secara nyata menyokong permohonan semakan Azilah.

Azilah, 48, yang hari ini tampil di mahkamah dengan berpakaian seragam penjara berwarna merah dan putih, telah dipenjarakan selama 16 tahun tiga bulan. Dia kini ditahan di penjara Sungai Buloh.

Terdahulu peguam Azilah J.Kuldeep Kumar membacakan surat oleh bapa Altantuya Shaariibuu Setev, yang menyokong permohonan Azilah di mahkamah.

Selepas prosiding mahkamah tamat, Kuldeep memberitahu pemberita bahawa Azilah akan dibebaskan pada 2034.  Beliau juga berkata Azilah berasa lega dengan keputusan meringankan hukuman itu.

Sementara itu Peguam Sangeet Kaur Deo yang mewakili keluarga Altantuya berkata hukuman penjara 40 tahun adalah adil dan boleh diterima oleh keluarga mangsa.

Sangeet berkata bapa Altantuya bertindak mengikut nuraninya dan menyokong hak Azilah untuk terus hidup.

Azilah disabitkan kesalahan pada 2009, bersama bekas anggota polis Koperal Sirul Azhar Umar, 53, kerana membunuh Altantuya, di Mukim Bukit Raja di Shah Alam antara 10 malam pada 19 Okt dan 1 pagi keesokan harinya pada 2006. Mahkamah Tinggi Shah Alam menjatuhkan hukuman mati terhadap kedua-dua mereka.

Penganalisis politik Abdul Razak Baginda pula dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam daripada tuduhan bersubahat dengan pembunuhan itu.

Susulan rayuan, Azilah dan Sirul kemudiannya dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Rayuan pada 2013, bagaimanapun pada 2015, Mahkamah Persekutuan membatalkan pembebasan mereka dan mengesahkan sabitan dan hukuman mati.

Sirul Azhar tidak hadir ke mahkamah pada 2015 untuk keputusan Mahkamah Persekutuan, dan dipercayai berada di Australia.

Dalam prosiding hari ini Kuldeep memohon mahkamah menggantikan hukuman mati Azilah kepada penjara, dengan berkata anak guamnya tidak mempunyai motif untuk membunuh wanita itu, tetapi berada di bawah arahan pihak atasannya untuk berbuat demikian.

Beliau berkata Altantuya dibunuh bukan untuk kepuasan seksual dan Azilah tidak mendapat sebarang faedah kewangan daripada jenayah itu.

Kuldeep berkata Azilah yang berasal dari Sarikei, Sarawak, membunuhnya selepas dimaklumkan oleh pihak atasannya bahawa wanita itu adalah seorang perisik asing yang memiliki rahsia negara.

Mohd Dusuki bagaimanapun menggesa mahkamah mengekalkan hukuman mati terhadap Azilah. Beliau berkata pembunuhan itu kejam kerana Altantuya ditembak dan diletupkan sehingga hancur.

Beliau berkata jenayah itu berlaku di tempat terpencil di kawasan hutan, yang menandakan ada niat untuk menyembunyikan perbuatan membunuh.

-- BERNAMA


 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan