Pengurusan Tertinggi GISBH Antara 16 Individu Ditahan Semula Bawah SOSMA

10/10/2024 07:23 PM

KUALA LUMPUR, 10 Okt (Bernama) -- Seramai 16 individu termasuk pengurusan tertinggi GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) yang dikaitkan dengan kegiatan eksploitasi kanak-kanak dan dakwaan doktrin ketaasuban agama hari ini ditahan semula di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata setakat ini 58 individu telah ditahan di bawah akta berkenaan sejak Op Global dilaksanakan September lepas.

Beliau berkata dalam tempoh kira-kira sebulan operasi itu dilaksanakan, polis telah menahan 415 orang, dan 625 mangsa berusia dua bulan hingga 28 tahun diselamatkan. 

"Daripada jumlah itu, 553 mangsa ditempatkan di 13 pusat perlindungan di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) manakala 72 diserahkan kepada ahli keluarga mereka," katanya pada sidang media Op Global di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur di sini, hari ini.

Mohd Shuhaily berkata proses mengambil semula semua kanak-kanak itu dilaksanakan dengan teliti dan pemantauan ketat oleh JKM.

Beliau berkata 273 orang daripada 415 orang yang ditahan telah dijamin, 37 dibebaskan tanpa syarat, 35 masih dalam tahanan, dua diserahkan kepada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah, dan seorang diserahkan kepada Jabatan Imigresen bagi tujuan pengusiran.

Mohd Shuhaily berkata 97 kertas siasatan dibuka, melibatkan pelbagai kesalahan termasuk di bawah Seksyen 130v Kanun Keseksaan dan Seksyen 4 (1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFPUAA) 2001.

Daripada jumlah itu sembilan individu telah dituduh dengan 34 pertuduhan iaitu 20 pertuduhan yang melibatkan Seksyen 14(a) dan Seksyen 14(b) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak 2017, Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001, Seksyen 354 Kanun Keseksaan dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

Beliau berkata empat kertas siasatan melibatkan dua individu di bawah Seksyen 12 Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007, masing-masing satu kertas siasatan Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017 dan Seksyen 5(1) Akta Pusat Jagaan 1993 telah diberikan arahan tuduh oleh Jabatan Peguam Negara, dan mereka akan dituduh di mahkamah dalam masa terdekat.

"Siasatan polis masih diteruskan dan tangkapan ini dibuat hasil soal siasat. Selagi siasatan masih menunjukkan ada saki baki (pengikut GISBH) dan memberi ancaman kepada keselamatan negara, kami akan teruskan (siasatan)," katanya.

Berhubung serbuan ke pusat indoktrinasi yang dikendalikan GISBH, beliau berkata serbuan ke beberapa pusat itu sudah dilakukan dalam siasatan Op Global fasa keempat, namun semua pusat berkenaan didapati telah ditutup.

“Kita akan beri maklumat berapa pusat yang terlibat. Tidak ada mangsa yang boleh ceritakan mereka telah diindoktrinasikan di tempat-tempat berkenaan setakat ini,” katanya.

Mohd Shuhaily turut menasihatkan bekas ahli atau pengikut GISBH untuk tampil memberikan maklumat dan membantu siasatan.

Beliau berkata gesaan Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain agar bekas ahli dan pengikut GISBH memberikan maklumat berhubung gerakan organisasi itu telah menunjukkan respons positif, apabila ada pihak yang tampil memberikan kerjasama bagi membantu siasatan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan