Najib Tidak Tanya Siasatan Dana SRC Dibekukan Di Switzerland - Mahkamah Diberitahu

10/10/2024 06:26 PM

KUALA LUMPUR, 10 Okt (Bernama) -- Datuk Seri Najib Razak memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa beliau tidak memohon maklumat mengenai siasatan terhadap dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM3.6 bilion yang dibekukan pihak berkuasa Switzerland pada 2013.

Bekas perdana menteri berusia 71 tahun itu berkata siasatan itu adalah rumit  dan menjangkakan pihak berkuasa memaklumkan sebarang perkembangan kepadanya mengenai dana SRC di BSI Bank di Lugano.

Dana itu adalah sebahagian daripada pinjaman RM4 bilion daripada Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP) kepada SRC, yang dirampas pihak berkuasa negara itu kerana disyaki terbabit dengan pengubahan wang haram.

Najib, selaku defendan pertama, berkata demikian apabila disoal peguam SRC Datuk Lim Chee Wee dalam saman sivil SRC bernilai AS$1.8 bilion terhadap beliau dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif SRC, Nik Faisal Ariff Kamil, yang masih bebas.

Lim: “Sebagai Menteri Kewangan adakah anda mengambil tindakan secara peribadi untuk mengetahui apa yang telah berlaku dengan pelaburan SRC bagi menjana pulangan untuk membayar pinjaman daripada Kumpulan Wang Persaraan Inc?”

Najib: “Ya, saya telah bertanya kepada pihak pengurusan. Mereka menghadapi kesukaran untuk memberikan jawapan yang memuaskan. Saya tidak berpuas hati dengan keadaan tersebut.”

Lim: “Jika anda tidak berpuas hati dengan pihak pengurusan, apakah laporan yang anda minta daripada agensi penguatkuasaan undang-undang mengapa dana SRC dibekukan di Switzerland?”

Najib: “Saya tidak meminta laporan itu tetapi seperti yang saya katakan, saya menjangkakan mereka akan memberikan laporan itu kepada saya. Saya kecewa dengan keadaan itu.”

Najib kemudian mengesahkan bahawa walaupun tidak lagi memegangan jawatan sebagai Perdana Menteri pada 9 Mei 2018, dana pelaburan SRC masih belum dipulangkan ke Malaysia.

Sebagai respons kepada soalan lain oleh Lim, Najib menolak cadangan peguam bahawa alasan beliau tidak mengarahkan agensi penguat kuasa menyiasat dana itu adalah kerana beliau sudah mendapat manfaat dan menerima RM42 juta daripada wang SRC dalam akaunnya.

Najib menegaskan beliau percaya  apa yang diterima dalam akaunnya itu adalah wang derma.

Bekas perdana menteri itu juga menafikan  beliau menghalang bekas Menteri Kewangan II Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah daripada cuba membawa pulang wang yang telah dibekukan oleh pihak berkuasa Switzerland ke Malaysia.

“Beliau (Ahmad Husni) hanya menyebutnya secara santai. Saya tidak pernah menghalangnya daripada bertindak dalam mana-mana urusan 1MDB. Jika dia sediakan kertas Kabinet maka kita boleh menelitinya. Semua menteri yang pergi ke luar negara mesti menyediakan kertas Kabinet,” katanya.

Walau bagaimanapun, apabila disoal sama ada beliau secara peribadi mengambil inisiatif untuk menyediakan kertas Kabinet untuk Ahmad Husni memulakan siasatan terhadap dana yang dibekukan, Najib menjawab tidak dan menyatakan pengurusan SRC telah pergi ke BSI Bank di Switzerland untuk menangani isu tersebut.

Pada Mei 2021, SRC International di bawah pengurusan baharu telah memfailkan saman mendakwa Najib telah melakukan pecah amanah dan salah guna kuasa serta memperoleh ganjaran peribadi daripada dana SRC selain menyeleweng dana itu.

Sebelum ini, SRC menggugurkan lima pengarahnya daripada saman itu dan mengekalkan Najib sebagai defendan tunggal.

Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi memberi kebenaran kepada Najib untuk mengeluarkan notis pihak ketiga terhadap mereka.

SRC memohon deklarasi mahkamah bahawa Najib bertanggungjawab atas kerugian yang dialami olehnya akibat pelanggaran tugas dan amanah beliau serta menuntut bekas Perdana Menteri itu membayar pampasan RM42 juta bagi kerugian itu.

Perbicaraan kes di hadapan Hakim Datuk Ahmad Fairuz Zainol Abidin bersambung 16 Okt ini.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan