Polis, Pihak Berkuasa Agama Sediakan Syor Tangani Usaha Hidupkan Semula Fahaman GISBH

10/10/2024 07:40 PM

KUALA LUMPUR, 10 Okt (Bernama) -- Polis Diraja Malaysia akan bekerjasama dengan pihak berkuasa agama dan agensi berkaitan bagi memastikan ajaran serta fahaman dibawa GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) tidak dihidupkan semula.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata perbincangan dengan kerjasama pelbagai agensi antaranya Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Kementerian Kesihatan (KKM) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan menyediakan cadangan kepada kerajaan untuk tindakan lanjut. 

Beliau berkata siasatan membabitkan GISBH ini lebih besar dan bukan sahaja melibatkan kefahaman serta ideologi semata-mata.

"Ia melibatkan lebih daripada kefahaman dan ideologi, mereka ini mengamalkan sosio budaya dan ekonomi mereka sendiri.

"Oleh itu, kerjasama dengan semua agensi yang terbabit diperlukan dan kita serahkan kepada kerajaan dengan syor diberikan berkaitan keperluan pendekatan pemulihan holistik, tidak hanya kepada kefahaman," katanya pada sidang media Op Global di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur di sini hari ini.

Mohd Shuhaily berkata siasatan GISBH merupakan keutamaan Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman  sejak sebulan lepas membabitkan kekuatan anggota serta pegawai hampir keseluruhan jabatan itu

Beliau berkata pasukan siasatan kini dikecilkan kerana terdapat kes lain yang perlu diberi perhatian.

“Saya telah berbincang dengan pegawai-pegawai dan kita perlu percepatkan (siasatan) kerana banyak lagi keutamaan (kes) lain.

“Sekiranya semuanya (siasatan membabitkan GISBH) berjalan lancar dan ada tangkapan susulan daripada hasil soal siasat sekali gus membawa kepada pendakwaan,” katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan