23 Harta GISBH Di 10 Negara Bernilai Lebih RM52 Juta

10/10/2024 09:50 PM

KUALA LUMPUR, 10 Okt (Bernama) – Polis Diraja Malaysia (PDRM) mula menjalankan siasatan terhadap aset GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) di luar negara selepas mengenal pasti 23 harta milik syarikat itu di 10 negara dengan anggaran nilai RM52.4 juta.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata polis masih menunggu maklum balas daripada sembilan negara lain yang dipercayai GISBH turut menjalankan operasi di rantau Asia Tenggara, Eropah dan Timur Tengah.

Beliau berkata sebelum ini dimaklumkan sebanyak 19 negara yang ada premis GISBH.

“Kita juga minta bantuan melalui Polis Antarabangsa (INTERPOL), pihak berkuasa negara terbabit dan agensi berkaitan. Kita memperoleh maklumat terdapat tiga premis di sebuah negara telah berhenti beroperasi dengan papan tanda sudah diturunkan malah tingkap dan pintu ditutup dengan plastik hitam.

“Kita belum dapat maklumat tentang ahli-ahli mereka di negara tersebut jadi itu ialah siasatan seterusnya yang akan kita susun,” katanya pada sidang media di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Kuala Lumpur, di sini hari ini.

Mohd Shuhaily berkata siasatan aset dan harta GISBH dalam negara pula, polis telah melaksanakan pembekuan dan penyitaan  pelbagai harta masing-masing bernilai RM17,045,095.40 dan RM2,862,450.

Katanya tindakan pembekuan dilakukan mengikut Seksyen 44(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFPUAA)  2001 manakala sitaan mengikut Seksyen 45(2) akta sama, menjadikan jumlah keseluruhan pembekuan dan penyitaan berjumlah RM19,907,545.40.

Dalam pada itu, katanya siasatan terhadap GISBH adalah telus kerana membabitkan proses perundangan terperinci yang dilaksanakan oleh polis dan sistem kehakiman dan tidak wajar dibandingkan dengan tindakan terhadap sebuah gerakan agama pada 1994.

“Masa 1994 kita ada undang-undang pencegahan yang kita tidak perlu pergi kepada sistem kehakiman. Sekarang semua tangkapan kita bawa dalam sistem perundangan terbuka, harus dicari bukti, harus dibawa kepada majistret untuk dapat perintah tahanan lanjut, dan seterusnya.

“Prosedur itu sangat telus dan pihak polis menguatkuasakan undang-undang dengan peruntukan yang sememangnya diperuntukkan untuk kami kuatkuasakan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas pendapat bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dalam sebuah wawancara yang mengatakan tindakan polis terhadap GISBH adalah terlalu keras.

Mohd Shuhaily berkata terdapat bukti seperti disebut Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain bahawa perniagaan GISBH dimudah cara dengan kefahaman tarekat Aurad Muhammadiah, yang telah difatwakan sebagai ajaran sesat sebelum ini.

“Proses undang-undang semakin matang dan saya harap masyarakat akan semakin faham proses ini. Polis akan meneruskan siasatan dan tanggungjawab kami sepenuhnya mencari bukti untuk dibawa kepada Pendakwa Raya yang akan mengkaji dan mengesyorkan tindakan seterusnya,” katanya.

– BERNAMA  

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan