BERITA TERGEMPAR   The future of ASEAN must include Timor-Leste, whose inclusion will expand the region's economy and contribute to fulfilling our grand vision - PM Anwar | Laos secara rasmi serah kepengerusian ASEAN kepada Malaysia | 

Kes Bunuh Sabari: Kontraktor, Anak Saudara Direman Seminggu Lagi

11/10/2024 02:51 PM

SUNGAI PETANI, 11 Okt (Bernama) -- Seorang kontraktor dan anak saudaranya direman seminggu lagi bagi membantu siasatan kes pembunuhan pesara pegawai kewangan Felcra, Sabari Baharom.

Perintah reman ke atas dua lelaki berusia 38 dan 26 tahun itu, yang bermula hari ini hingga Khamis depan, dikeluarkan Majistret Anis Suraya Ahmad di Kompleks Mahkamah Sungai Petani di sini, hari ini.

Permohonan perintah reman yang dikemukakan polis daerah Baling itu adalah bagi siasatan lanjut di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Sebelum ini, kedua-dua lelaki itu yang ditahan 27 Sept lepas, direman bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan berhubung kes khianat bakar kereta.

Terdahulu, sebuah lori dengan kawalan ketat polis yang dipercayai membawa kedua-dua suspek dilihat memasuki pekarangan Kompleks Mahkamah Sungai Petani sekitar 9.48 pagi dan meninggalkan bangunan tersebut kira-kira sejam kemudian.

Media sebelum ini melaporkan Sabari yang tinggal seorang diri di Kampung Mengkuang Tengah di Kuala Pegang, Baling, hilang sejak 4 Sept lepas dan kereta Proton Waja dinaikinya ditemukan hangus di Belantik, Sik pada 20 Sept.

Polis kemudian mengesahkan Sabari dicampak ke dalam Sungai Padang Terap berhampiran Kampung Empa di Wang Tepus, Jitra, dalam keadaan tangan diikat dan mulut ditutup dengan pita pelekat susulan penahanan dua lelaki itu. 

Operasi pencarian Sabari di kawasan sungai berkenaan dilaksanakan selama tiga hari sebelum ditamatkan pada 3 Okt.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan