BERITA TERGEMPAR   The future of ASEAN must include Timor-Leste, whose inclusion will expand the region's economy and contribute to fulfilling our grand vision - PM Anwar | Laos secara rasmi serah kepengerusian ASEAN kepada Malaysia | 

GISBH: Tindakan Pisah Kanak-kanak Untuk Siasatan Menyeluruh - Saifuddin Nasution

11/10/2024 04:23 PM

PUTRAJAYA, 11 Okt (Bernama) -- Tindakan memisahkan kanak-kanak dikaitkan dengan GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) dengan ibu bapa mereka bertujuan melakukan siasatan menyeluruh berhubung isu berkenaan.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) melaksanakan siasatan mengikut lunas undang-undang dan fokusnya adalah eksploitasi wanita dan kanak-kanak. 

"Bila polis selamatkan, polis berpandukan kepada 11 akta buat masa sekarang dan penyiasatan terus melebar. 

“Kami fokus (siasatan) kepada eksploitasi wanita dan kanak-kanak termasuk potensi berlaku pelecehan seksual kanak-kanak mengikut Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017," katanya dalam sesi libat urus dan ramah mesra bersama Ketua Pengarang Media di sini hari ini.

Beliau mengulas laporan mengenai enam peguam bakal mengemukakan bukti di mahkamah bagi menyokong dakwaan bahawa tindakan memisahkan kanak-kanak dengan ibu bapa yang dikaitkan dengan GISBH tidak mengikut undang-undang.

Saifuddin Nasution berkata PDRM ketika ini menjalankan siasatan berhubung GISBH dengan cukup telus dan berhati-hati kerana ia melibatkan kepentingan awam.

"Setakat ini, 70 (kanak-kanak) sudah kami pulangkan kepada keluarga… sebahagian belum kami pulangkan, maksudnya belum selesai (siasatan).

"Ketika belum selesai, kalau ada ibu bapa yang nak temui (anak), sudah tentu polis kena urus perkara itu," katanya.

Semalam, 16 individu termasuk pengurusan tertinggi GISBH yang dikaitkan dengan kegiatan eksploitasi kanak-kanak dan dakwaan doktrin ketaasuban agama ditahan semula di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata setakat ini 58 individu ditahan di bawah akta berkenaan sejak Op Global dilaksanakan September lepas.

Mohd Shuhaily berkata sepanjang tempoh operasi itu dilaksanakan, sebanyak 415 individu ditahan dan 625 mangsa berusia dua bulan hingga 28 tahun diselamatkan oleh pihak polis.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan