Seorang Maut, Dua Selamat Dalam Insiden Bangunan Runtuh

12/10/2024 01:10 AM

MELAKA, 11 Okt (Bernama) -- Seorang pekerja warga asing maut manakala dua lagi selamat dalam insiden bangunan runtuh di Jalan Bukit Senjuang di sini petang tadi.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Christopher Patit berkata dalam insiden pada 6 petang itu, lelaki warga Bangladesh dikenali sebagai Jidan, 22,ditemukan maut dalam keadaan tersepit di celah runtuhan tiang konkrit.

"Mangsa ditemukan di celah runtuhan pada 9.55 malam namun hanya berjaya dikeluarkan dari runtuhan pada 12.16 tengah malam tadi.

“Mangsa yang selamat, Zubair Ahmed, 32, dan Abbas Ghulam, 49, kedua-duanya warga Pakistan,  mengalami kecederaan di beberapa bahagian tubuh termasuk leher, bahu dan kepala. Mereka masing-masing dikeluarkan dari runtuhan pada 6.40 petang dan 8.45 malam ini.

"Kedua-dua mangsa kini menerima rawatan di Hospital Melaka," katanya kepada pemberita di lokasi kejadian.

Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri R Saiful Iswandy R Hassan pula berkata pihaknya menerima laporan mengenai insiden itu pada 6.18 petang dan seramai 81 pegawai serta anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Padang Temu dan Melaka Tengah termasuk Pasukan Khas Taktikal Operasi Menyelamat (35 orang) tiba di lokasi kejadian kira-kira 10 minit kemudian.

“Pasukan bomba berjaya mengeluarkan mangsa dari runtuhan yang melibatkan struktur bangunan satu tingkat berukuran 18.3 meter x 24.4 meter persegi yang masih dalam pembinaan," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan