Op Samseng Jalanan: Penjawat Awam, Pelajar Sekolah Antara Tujuh Ditahan

12/10/2024 06:42 PM

GEORGE TOWN, 12 Okt (Bernama) -- Polis Pulau Pinang menahan tujuh penunggang motosikal termasuk seorang penjawat awam dan tiga pelajar sekolah dalam Op Samseng Jalanan, yang dijalankan di Lebuhraya Tun Dr Lim Choong Eu berhampiran Seagat, daerah Barat Daya, dekat sini awal pagi hari ini.

Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kontinjen Pulau Pinang dalam laman Facebooknya memaklumkan pihaknya menjalankan operasi itu bersama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri, bermula 11 malam semalam hingga 10 pagi hari ini.

“Dalam operasi yang dijalankan itu, pihak JSPT Kontinjen Pulau Pinang telah menahan tujuh penunggang motosikal yang kesemuanya lelaki berusia belasan tahun hingga 20-an di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan menyita dua motosikal di bawah Seksyen 64(1) APJ 1987.

“Polis turut mengeluarkan 21 saman kerana pelbagai kesalahan trafik, manakala pihak JPJ pula telah menyita dua motosikal di bawah Seksyen  64(1) APJ 1987 dan 17 saman telah dikeluarkan,” menurut hantaran itu.

JSPT Kontinjen Pulau Pinang memaklumkan akan terus mempergiatkan operasi samseng jalanan di lokasi yang telah dikenal pasti di sekitar negeri itu dan menasihatkan pengguna jalan raya agar tidak melibatkan diri dengan kegiatan lumba haram.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan