Pencemaran Bau: Dua Kilang Di Nibong Tebal Diarah Henti Operasi Serta-merta

13/10/2024 08:28 PM

NIBONG TEBAL, 13 Okt (Bernama) -- Dua kilang di kawasan Perindustrian Bukit Panchor, di sini yang disita pihak berkuasa bulan lepas kerana terbabit kes pencemaran bau diarah menghentikan operasi serta-merta semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa negeri H’ng Mooi Lye berkata Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) mendapati kilang terbabit masih beroperasi hingga secara berterusan menyebabkan gangguan kepada penduduk manakala pemiliknya diberikan amaran tegas sebelum tindakan lanjut Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pulau Pinang.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jawi itu berkata tindakan dibuat dalam operasi khas MBSP bersama-sama Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Jawi 10.30 malam semalam.

“MBSP juga akan menyediakan laporan siasatan kepada JAS Pulau Pinang untuk tindakan lanjut dan pada masa sama akan menarik balik lesen perniagaan premis kilang yang tidak mematuhi syarat.

"Saya ingin menegaskan selaku ADUN Jawi, saya tidak akan bertolak ansur untuk membenarkan kilang haram dan kilang yang menimbulkan gangguan serta pencemaran bau yang membahayakan komuniti setempat," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata pihak berkuasa menerima aduan bau pembakaran plastik yang amat mengganggu penduduk Bukit Panchor dan Nibong Tebal sejak Mei dan MBSP serta JAS Pulau Pinang telah diminta membuat siasatan untuk mengenal pasti kilang terlibat.

"Setelah siasatan, JAS Pulau Pinang menyita tiga premis kilang yang mengeluarkan bau kebakaran plastik pada September lepas. Aduan masih diterima walaupun kilang-kilang berkenaan telah disita," katanya.

H’ng berkata sehubungan itu, beliau meminta supaya operasi khas dijalankan terhadap tiga kilang berkenaan dan semasa pemantauan didapati dua daripadanya masih beroperasi.

Beliau berkata satu daripada kilang itu didapati beroperasi tanpa lesen manakala satu lagi mempunyai lesen perniagaan MBSP.

"Bagi kilang yang mempunyai lesen perniagaan, MBSP telah memberi amaran tegas dan mengarahkan pengurusan kilang itu menghentikan operasi serta-merta. Kilang tanpa lesen MBSP pula dikenakan dua kompaun iaitu menjalankan aktiviti perniagaan tanpa lesen serta kompaun mempamerkan iklan tanpa lesen selain turut diarahkan menghentikan operasi," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan