Pengawal Keselamatan Maut Dihempap Pokok Tumbang Di Sik

13/10/2024 11:47 PM

SIK, 13 Okt (Bernama) -- Seorang pengawal keselamatan sekolah maut selepas dihempap pokok tumbang ketika sedang menunggang motosikal di Kampung Bandar Hilir di sini petang tadi.

Ketika kejadian mangsa, Mohd Rizal Aziz, 47, yang menunggang motosikal jenis Yamaha LC 135 seorang diri dalam perjalanan pulang ke rumah selepas menziarahi ibunya yang sakit di Tanjung Besar di sini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sik Penolong Penguasa Bomba Zulkhairi Mat Tanjil berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 5.58 petang dan tiba di lokasi pada 6.17 petang.

“Setibanya di lokasi, terdapat seorang mangsa tersepit antara motosikal yang ditunggangi dan dahan pokok tumbang. Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh petugas Kementerian Kesihatan (KKM). 

"Sebanyak 20 petugas termasuk anggota bomba, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, polis dan sukarelawan Khidmat Malaysia membantu memotong dahan pokok bagi mengeluarkan mangsa," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Zulkhairi berkata pasukan bomba menggunakan gergaji berantai untuk memotong dahan pokok yang tumbang dan kemudian menyerahkan mangsa kepada polis untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sik DSP Abdull Razak Osman ketika dihubungi berkata beberapa kawasan di daerah itu dilanda ribut dan hujan lebat pada kira-kira 6 petang tadi.

"Angin kencang telah menyebabkan pokok tumbang di Kampung Bandar Hilir dan menghempap mangsa. Mayat mangsa telah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sik untuk bedah siasat," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan