SPRM Temukan Dua 'Safehouse', Rampas RM321,000

14/10/2024 04:29 PM

KOTA KINABALU, 14 Okt (Bernama) -- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menemukan dua 'safehouse' serta merampas mata wang asing dan tempatan keseluruhan bernilai RM321,000 dalam siasatan kes melibatkan Menteri Besar Selangor Incorporated (MBI).

Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki berkata empat individu ditahan pada Khamis lepas bagi membantu siasatan kes itu, dengan seorang daripadanya yang mempunyai kaitan dengan pengarah syarikat terbabit masih direman hingga esok.

Beliau berkata dua individu dibebaskan dengan jaminan SPRM semalam, manakala seorang lagi hanya direman sehari.

“Sebanyak 15 saksi telah direkod keterangan melibatkan kes ini,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Konvensyen Integriti, Tadbir Urus dan Antirasuah (KITA) 2024 di sini hari ini.

Konvensyen itu dirasmikan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor.

Semalam media melaporkan, SPRM menemukan sejumlah mata wang asing bernilai kira-kira RM5 juta ketika menggeledah sebuah pangsapuri di Kuala Lumpur yang dipercayai dijadikan ‘safehouse’ oleh seorang ahli politik berpengaruh.

Azam berkata pihaknya percaya terdapat wang terlibat dalam kes itu dilaburkan di negara luar dan tidak menolak akan terdapat lebih serbuan serta penahanan individu yang terlibat dalam kes itu.

Ditanya tentang identiti dan penglibatan ahli politik berpengaruh dalam kes itu, beliau berkata perkara itu masih dalam siasatan pihaknya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan