Tukang Masak Maut Langgar Belakang Jentolak

15/10/2024 03:59 PM

SUNGAI PETANI, 15 Okt (Bernama) -- Seorang tukang masak maut selepas kereta dipandunya melanggar bahagian belakang jentolak di Jalan Lencongan Timur di sini.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda ACP Wan Azharudin Wan Ismail berkata dalam kejadian pada 5.30 pagi tadi, Zuraini Murad, 48, dari Darulaman Perdana dekat sini maut di tempat kejadian akibat cedera parah pada bahagian kepala.

“Kemalangan berlaku ketika kedua-dua kenderaan sedang bergerak dari arah sama iaitu dari Taman Batik menuju ke Bukit Banyan dan mangsa berada di belakang jentolak.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, kereta jenis Perodua Axia dipandu mangsa yang sedang bergerak lurus melanggar jentolak dari arah belakang, menyebabkan mangsa cedera parah di kepala dan meninggal dunia," katanya dalam kenyataan hari ini.

Wan Azharudin berkata punca kemalangan dipercayai disebabkan mangsa gagal mengawal kenderaan sehingga melanggar bahagian belakang jentolak berkenaan.

“Mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Sultan Abdul Halim Sungai Petani untuk proses bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Sementara itu, Normah, 66, berkata adik bongsunya itu bekerja sebagai tukang masak di sebuah hospital swasta di Seberang Jaya, Pulau Pinang.

“Arwah seorang yang suka melayan anak-anak buah, apa yang mereka nak, semua dia masak dan menjamu makan, anak-anak saya pun suka kalau dia balik kampung.

“Adik saya seorang ibu tunggal dan tinggal seorang diri di rumahnya di Sungai Petani, ketika kejadian dia sedang dalam perjalanan ke tempat kerja yang terletak kira-kira 40 kilometer dari rumahnya,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan