Tendang Cermin Kereta Pemandu E-panggilan, Lelaki Vietnam Didenda RM4,000

15/10/2024 05:38 PM

KUALA LUMPUR, 15 Okt (Bernama) -- Mahkamah Majistret Ampang hari ini menjatuhi hukuman denda RM4,000 ke atas seorang lelaki warga Vietnam yang mengaku menendang cermin kereta seorang pemandu e-panggilan sehingga pecah, minggu lepas. 

Majistret Amalina Basirah Md Top juga memerintahkan Vo Dinh Dong, 40, dipenjara dua bulan jika gagal membayar denda.

Dia didakwa melakukan khianat dengan merosakkan cermin sisi kiri kereta milik S. Gobikannan, 50, di ruang bawah sebuah kondominium di Ampang pada 12.40 pagi 6 Okt lepas mengikut Seksyen 426 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara tiga bulan atau denda atau kedua-duanya. 

Mengikut fakta kes yang dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya Norhidayah Abdullah Sani, Gobikannan telah mengambil sepasang penumpang warga Vietnam dari Jalan Sultan Ismail pada hari kejadian untuk dihantar ke kondominum itu dan semasa dalam perjalanan, tertuduh muntah.

Gobikannan telah menegur tertuduh dengan baik namun apabila tiba di tempat yang dituju, berlaku pertengkaran mulut serta tolak-menolak antara mereka sehingga menyebabkan Vo menendang cermin sisi kereta dan dia kemudian ditangkap kerana melakukan khianat itu.

Terdahulu, Norhidayah memohon hukuman setimpal kerana tertuduh sengaja melakukan khianat dengan memecahkan cermin kereta Gobikannan sehingga pemandu e-panggilan itu mengalami kerugian.

Peguam Dony Abdullah pula memohon hukuman ringan atas alasan anak guamnya telah insaf dan menyesal dengan perbuatan yang dilakukan. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan