Lelaki Maut Dipercayai Dibaham Harimau Di Gerik

15/10/2024 07:38 PM

IPOH, 15 Okt (Bernama) -- Seorang lelaki ditemukan maut disyaki dibaham harimau berhampiran rumah kongsi Bagan Balak di Kilometer 79.2 Jalan Raya Timur Barat (JRTB) dekat Gerik hari ini.

Ketua Polis Perak Datuk Azizi Mat Aris berkata mangsa berusia 54 tahun dan bekerja sebagai pengendali jentera berat dipercayai hendak ke tandas rumah kongsi berkenaan.

Beliau berkata kejadian itu disaksikan oleh isteri mangsa yang merupakan warga Thailand dan bekerja sebagai tukang masak.

“Pusat Kawalan Daerah Gerik telah menerima maklumat berkaitan kes itu kira-kira 8.25 pagi dengan kejadian dipercayai berlaku di antara 5 hingga 6 pagi semasa mangsa hendak pergi ke tandas.

“Pengadu memaklumkan terdengar bunyi harimau mengaum lalu membuka pintu rumah kongsi dan telah melihat haiwan itu sedang mengheret mangsa ke arah semak," katanya dalam kenyataan hari ini.

Azizi berkata sepasukan polis bersama 10 anggota Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) telah ke lokasi kejadian untuk siasatan dan lelaki itu kemudian dijumpai pada 12 tengah hari kira-kira 100 meter dari rumah kongsi berkenaan dengan mangsa mengalami cedera parah di kaki kiri dan leher.

"Kes diklafikasikan sebagai mati mengejut (SDR). Mayat mangsa kemudian dihantar ke Unit Forensik Hospital Gerik bagi tujuan bedah siasat," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan