Pemandu Maut, Penumpang Cedera Kereta Terbakar Di NPE

20/10/2024 12:07 PM

KUALA LUMPUR, 20 Okt (Bernama) -- Seorang pemandu maut manakala penumpangnya cedera ringan selepas kereta dinaiki terbabas dan terbakar di KM14.9 Lebuhraya Pantai Baru (NPE) kira-kira 8 pagi ini.

Pemangku Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur Rozihan Anwar Mamat berkata Pusat Gerakan Operasi Kuala Lumpur menerima panggilan berhubung kejadian pada 8.28 pagi tadi.

“Sepasukan sembilan pegawai dan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Seputeh bersama jentera Fire Rescue Tender dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) kemudian digegaskan ke tempat kejadian.

“Setibanya di lokasi, didapati sebuah kereta jenis Toyota Vios sedang terbakar dipercayai impak daripada kemalangan jalan raya sebelum terbakar 100 peratus,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata lelaki yang cedera dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya manakala mayat pemandu diserahkan kepada pihak polis.

Difahamkan kedua-dua lelaki terbabit sempat dikeluarkan oleh orang ramai sebelum kereta berkenaan terbakar dan mereka dipercayai mempunyai pertalian saudara.

Sementara itu, jurucakap Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) ketika dihubungi Bernama memaklumkan kemalangan itu turut mengakibatkan kesesakan trafik lebih 300 meter di lebuh raya berkenaan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan