Lebih 11,000 Saman Dikeluarkan Dalam Op Khas Motosikal

05/11/2024 03:06 PM

IPOH, 5 Nov (Bernama) -- Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengeluarkan 11,435 saman atas pelbagai kesalahan dalam Op Khas Motosikal 2024 sejak ia dilaksanakan pada 1 Nov lepas.

Ketua Pengarah JPJ Datuk Aedy Fadly Ramli berkata antara kesalahan yang dikenal pasti antaranya tiada lesen memandu kompeten (CDL), Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh, tiada perlindungan insurans, kesalahan teknikal seperti tayar haus dan lampu brek tidak berfungsi serta nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi.

Beliau berkata sebanyak 31,851 motosikal telah diperiksa dan daripada jumlah itu, sebanyak 4,533 motosikal telah diambil tindakan atas pelbagai kesalahan setakat semalam.

"JPJ juga telah menyita 135 motosikal yang gagal mematuhi peraturan yang telah ditetapkan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) dan Kaedah-Kaedah di bawahnya," katanya pada sidang media berkenaan Op Khas Motosikal 2024 di sini hari ini.

Aedy Fadly berkata pihaknya tidak akan berkompromi terhadap mana-mana penunggang atau pembonceng motosikal yang gagal mematuhi peraturan jalan raya seperti ditetapkan dari semasa ke semasa.

"Pihak JPJ sentiasa komited dalam memastikan keselamatan semua pengguna jalan raya dan berusaha meminimumkan kadar kemalangan serta kematian akibat nahas jalan raya yang melibatkan motosikal," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan