PUTRAJAYA, 6 Nov (Bernama) -- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah membekukan beberapa akaun bank persendirian dan syarikat milik pengasas platform e-dagang FashionValet bernilai kira-kira RM1.1 juta.
Pembekuan tersebut susulan daripada siasatan yang dijalankan SPRM terhadap pasangan suami isteri berkenaan berhubung kerugian pelaburan dana Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) serta Permodalan Nasional Bhd (PNB) berjumlah RM43.9 juta.
Menurut sumber, Isnin lepas, SPRM secara serentak telah menyerbu FashionValet Sdn Bhd (FashionValet), Kementerian Kewangan (MOF), Khazanah dan PNB serta memperoleh dokumen berkaitan kewangan bagi membantu siasatan.
“Sejak siasatan dijalankan, SPRM menerusi 'Op Favish', kami telah membekukan kira-kira 11 akaun persendirian dan enam akaun syarikat di bawah seliaan pasangan suami isteri ini bernilai kira-kira RM1.1 juta bagi membantu siasatan.
“Selain itu, SPRM juga telah merakam beberapa keterangan individu penting yang terdiri daripada pegawai kanan Khazanah, PNB, Fashion Valet, akauntan, penilai syarikat dan introducer,” kata sumber berkenaan.
Dalam kenyataan berasingan, suruhanjaya itu turut memaklumkan pihaknya menggeledah kediaman pasangan suami isteri itu yang terletak di Mont Kiara, Kuala Lumpur, hari ini.
Menurut sumber, pasangan tersebut hadir ke SPRM kira-kira 1 tengah hari untuk menyambung memberi keterangan kemudiannya dibawa ke kediaman jam 5.30 petang bagi tujuan pembongkaran.
Kata sumber, serbuan ke atas kediaman itu dilakukan oleh 12 pegawai SPRM dan turut disertai oleh peguam pasangan berkenaan.
“Penggeledahan berakhir sekitar jam 8 malam dan antara barangan yang disita termasuklah 11 beg tangan dan seutas jam tangan berjenama mewah dengan anggaran keseluruhan kira-kira RM200,000," katanya.
Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan pembekuan akaun dan pembongkaran tersebut dan berkata kes disiasat mengiku Seksyen 18 Akta SPRM 2009.
Katanya pasangan tersebut akan hadir lagi ke Ibu Pejabat SPRM esok pada pukul 10 pagi untuk sambung memberi keterangan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial