KPDN Pahang Serbu Dua Premis Jadi Stor Simpanan Barang Kawalan Bersubsidi

23/11/2024 08:35 PM

KUANTAN, 23 Nov (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pahang melakukan serbuan terhadap sebuah restoran dan rumah yang disyaki dijadikan lokasi penyimpanan barang kawalan bersubsidi di Triang, Bera pagi tadi.

Pengarahnya Jezlily Jamaluddin berkata serbuan serentak yang dilakukan kira-kira 10 pagi itu hasil aduan daripada orang awam berhubung kegiatan itu.

Beliau berkata hasil semakan mendapati bekalan gula bertapis kasar di premis restoran dan minyak masak peket bersubsidi di dalam kediaman pemilik restoran melebihi had simpanan dibenarkan, selain pemilik premis gagal mengemukakan sebarang dokumen berkaitan bagi pemilikan barang kawalan bersubsidi berkenaan.

"Sebanyak 205 kilogram (kg) minyak masa peket bersubsidi dan 20kg gula putih bertapis kasar serta dokumen perniagaan berkaitan telah disita,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata dua kertas siasatan dibuka dan kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 iaitu memiliki barang kawalan melebihi had disyaratkan.

“KPDN memberi amaran keras terhadap mana-mana individu atau syarikat berkaitan supaya sentiasa mematuhi perundangan ditetapkan,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan