KUANTAN, 26 Nov (Bernama) -- Dua lelaki maut dalam kemalangan melibatkan tiga kereta di KM3 Jalan Pekan-Kuantan hari ini.
Ketua Polis Daerah Pekan Supt Mohd Zaidi Mat Zin berkata mangsa yang meninggal dunia ialah Azuwan Zainal Abidin, 35, yang juga seorang peniaga dan warga emas Raja Mustafa Shah Raja Jalil Shah, 71, kedua-duanya beralamat di Pekan.
Beliau berkata siasatan awal mempercayai kemalangan pada 11.05 pagi itu berlaku apabila kenderaan jenis pacuan empat roda Mitsubishi Triton dipandu Azuwan dari arah Pekan menghala ke Kuantan hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan seterusnya melanggar kereta Proton Saga dipandu Raja Mustafa Shah.
"Pada masa sama, sebuah kenderaan pelbagai guna jenis Toyota Avanza dipandu lelaki 26 tahun tidak sempat mengelak kerana jarak terlalu dekat dan melanggar bahagian belakang Proton Saga," katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Zaidi berkata Azuwan dan Raja Mustafa Shah mengalami cedera parah dan meninggal dunia di Hospital Pekan manakala pemandu Toyota Avanza tidak mengalami sebarang kecederaan.
Kemalangan berkenaan katanya sedang disiasat lanjut mengikut seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial