PUTRAJAYA, 26 Nov (Bernama) -- Mahkamah Rayuan hari ini mengekalkan hukuman penjara 30 bulan dan denda RM225,000 ke atas seorang bekas polis yang disabitkan dengan dua pertuduhan meminta dan menerima rasuah, sembilan tahun lepas.
Panel tiga hakim terdiri daripada Hakim Datuk Azizah Nawawi, Datuk Azman Abdullah dan Datuk Azmi Ariffin menolak rayuan Muhammad Hafizzuddin Hassan untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang telah mengesahkan sabitan Mahkamah Sesyen.
Azizah ketika menyampaikan keputusan sebulat suara mahkamah berkata, “berdasarkan bukti dan penemuan mahkamah rendah, kami berpendapat sabitan itu adalah selamat.”
Bekas inspektor polis berusia 42 tahun itu akan memulakan hukuman penjara hari ini. Dia sebelum ini bebas dengan ikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin sambil menunggu keputusan rayuannya.
Pada 1 Jun, 2020, Mahkamah Sesyen mensabitkan Muhammad Hafizzuddin dengan kesalahan menerima suapan RM15,000 daripada Abdul Ghani Ismail, 54, kononnya untuk pegawai kanannya bagi menyelesaikan suatu kes Akta Pencegahan Jenayah (POCA) bagi Ridduan Ahmad, 50.
Kesalahan itu dilakukan di pejabatnya di Ibu Pejabat Polis Daerah Barat Daya di Balik Pulau, Pulau Pinang pada 3 petang, 8 April 2015.
Mahkamah Sesyen menjatuhi Muhammad Hafizzudin 30 bulan penjara dan denda RM75,000 atau penjara enam bulan jika gagal membayar denda itu.
Mahkamah Sesyen turut mensabitkan Muhammad Hafizzuddin atas kesalahan kedua iaitu cuba meminta suapan RM30,000 daripada Abdul Ghani dalam sebuah kereta di Lebuh Pekaka, Taman Pekaka, Pulau Pinang pada 6.20 petang, 18 Mei 2015.
Dia dihukum penjara 30 bulan dan denda RM150,000 atau penjara lapan bulan jika gagal membayar denda itu. Hukuman penjara bagi kedua-dua pertuduhan berjalan serentak.
Muhammad Hafizzuddin membawa kes ke Mahkamah Rayuan selepas Mahkamah Tinggi menolak rayuannya pada 24 Mac tahun lepas.
Dia diwakili peguam C.P.Ang manakala Timbalan Pendakwa Raya daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Farah Ezlin Yusop Khan, Dr Ifa Sirrhu Samsudin, Noor Azura Zulkiflee dan Afiqa Liyana Rozman mengendalikan pendakwaan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial