PASIR MAS, 30 Nov (Bernama) -- Seorang kanak-kanak lelaki berusia setahun ditemukan lemas selepas dipercayai terjatuh ke dalam air di sebuah rumah di Kampung Cherang Melintang, Tumpat, pada Khamis.
Ketua Polis Kelantan Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata mangsa bersama ibunya tinggal di tingkat atas rumah dua tingkat, yang kawasannya dilanda banjir.
Beliau berkata kejadian yang berlaku pada 11.30 malam itu hanya disedari ibu selepas anaknya didapati tidak tidur di sisinya dan selepas mencari ditemukan mangsa terapung di tingkat bawah rumah.
“Ibu mangsa mendapati meja sofa yang digunakan untuk menghadang tangga ke tingkat bawah telah terusik.
“Ibu mangsa kemudian memanggil suaminya sebelum dibantu jiran untuk membawa keluar anaknya itu menggunakan perahu ke Jambatan Kubang Panjang, seterusnya dibawa ke Hospital Tumpat dan disahkan meninggal dunia,” katanya dalam sidang media di Pusat Kawalan Operasi Bencana di Balai Polis Repek, di sini, hari ini.
Mohd Yusoff berkata keluarga mangsa sebelum ini sudah diarah untuk berpindah namun tidak mahu berbuat demikian.
Bayi berkenaan merupakan korban ketiga mangsa banjir di Kelantan, selain seorang lelaki berusia 35 tahun terkena renjatan elektrik dan seorang lelaki berusia 64 tahun di percayai lemas di Machang.
Dalam pada itu, beliau berkata meskipun ramalan cuaca mengatakan hujan akan reda hari ini atau esok, namun perlu diingat air akan turun ke hilir yang akan memberi kesan kepada kawsan Tumpat dan Pasir Mas.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial