Waspada Terima Panggilan Dakwa 'Pegawai CyberSecurity Malaysia'

01/12/2024 02:10 PM

KUALA LUMPUR, 1 Dis (Bernama) -- CyberSecurity Malaysia (CSM) meminta orang ramai berwaspada dengan panggilan telefon yang mendakwa mereka pegawai agensi itu dan meminta maklumat peribadi pemanggil.

CSM dalam kenyataan hari ini menegaskan mereka tidak membuat panggilan sedemikian kepada orang ramai, namun dimaklumkan banyak panggilan seperti itu dibuat pihak tidak bertanggungjawab mutakhir ini. 

“Orang ramai juga diminta berwaspada dengan panggilan telefon yang mendakwa pemanggil dari Unit Kawalan Keselamatan atau Security. Panggilan ini bukan daripada pegawai kami, malah unit tersebut juga tidak wujud di CSM. 

“Pihak kami tidak pernah meminta maklumat peribadi atau maklumat kewangan daripada orang ramai melalui panggilan telefon. Justeru, kami menggesa orang ramai supaya berwaspada,” menurut kenyataan itu. 

CSM memaklumkan pihak terlibat memberi pelbagai alasan seperti nombor telefon penerima panggilan (mangsa) telah melanggar undang-undang keselamatan atau nombor telefon akan disekat kerana terlibat dengan penyebaran berita tidak sahih. 

Antara alasan lain ialah nombor telefon mangsa terlibat dengan aktiviti scam (penipuan) menyebabkan banyak aduan diterima, digunakan untuk judi dalam talian atau penjualan saham atau sebaran maklumat palsu. 

Orang ramai yang menerima panggilan seperti itu boleh membuat laporan di cyber999@cybersecurity.my.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan