Ekori Ambulans Di Lebuh Raya Persekutuan, Seorang Lelaki Ditahan

03/12/2024 05:36 PM

SHAH ALAM, 3 Dis (Bernama) -- Polis menahan seorang lelaki selepas disyaki memandu secara berbahaya dan mengekori sebuah ambulans dalam keadaan membahayakan ambulans dan pengguna jalan raya lain di Lebuhraya Persekutuan di sini, Ahad lepas.

Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Mohd Iqbal Ibrahim berkata lelaki berusia 28 tahun itu ditahan kira-kira 11 malam pada hari sama setelah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam oleh pemilik asal kenderaan itu bagi membantu siasatan.

Beliau berkata siasatan awal mendapati kejadian yang turut tular menerusi media sosial itu berlaku kira-kira 4.40 petang ketika ambulans berkenaan sedang melalui Lebuhraya Persekutuan menghala ke Klang telah diekori sebuah kereta dan motosikal dalam keadaan membahayakan ambulans terbabit.

"Berdasarkan siasatan awal, kereta itu dipinjamkan oleh pemilik kenderaan kepada suspek dan kita telah pergi ke rumah pemilik kereta sebelum beliau kemudiannya datang ke IPD Shah Alam bersama lelaki berusia 28 tahun itu," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Iqbal berkata semakan turut mendapati suspek bukan ahli keluarga kepada pesakit yang dibawa di dalam ambulans berkenaan. 

Beliau berkata polis juga sedang mengesan seorang penunggang motosikal yang terlibat dalam kejadian sama dan kes disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Mohd Iqbal sehubungan itu menasihati pengguna jalan raya untuk memberikan laluan kepada mana-mana kenderaan dalam tugas kecemasan serta tidak mengekori kenderaan itu bagi mengelak bahaya kepada diri sendiri dan pengguna jalan raya. 

Terdahulu, tular video menerusi media sosial memaparkan sebuah kereta Honda Civic berwarna putih dan sebuah motosikal jenis Yamaha MT-15 yang mengekori sebuah ambulans secara berbahaya sambil menyalakan isyarat kecemasan di Lebuhraya Persekutuan, Ahad lepas.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan