Pelayaran Ke Selatan Perancis Pada 2009 Adalah Percutian Bersama Keluarga - Najib

03/12/2024 07:43 PM

KUALA LUMPUR, 3 Dis (Bernama) -- Datuk Seri Najib Tun Razak memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa pelayaran ke Selatan Perancis pada 2009 adalah semata-mata untuk meluangkan masa bercuti bersama keluarga beliau dan tidak mempunyai sebarang agenda di sebaliknya.

Najib berkata selain isteri, Datin Seri Rosmah Mansor dan anak-anaknya iaitu Nor Ashman Razak, Nooryana Najwa serta Riza Aziz, rakan mereka iaitu Tan Sri Bustari Yusuf dan anak-anaknya turut serta. 

"Berdasarkan siapa yang turut serta, anda boleh agak bahawa ia adalah percutian peribadi," katanya.

Bekas Perdana Menteri itu juga berkata ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho, atau Jho Low, tidak turut serta. 

Semasa menjawab soalah peguamnya, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, Najib berkata beliau agak terkejut apabila menerima undangan Putera Turki untuk beliau dan keluarganya menyertai baginda minum teh di atas kapal layarnya.

"Putera Turki adalah anakanda kesayangan Raja Abdullah yang memerintah Arab Saudi ketika itu. Jadi, saya dengan rendah hati menerima undangan baginda. 

“Ketika menaiki kapal layar itu, kami disambut oleh Putera Turki dan seorang lelaki yang memperkenalkan dirinya sebagai Tarek Obaid (Ketua Pegawai Eksekutif Petrosaudi International Limited) dan apabila memasuki ruang tamu, Jho Low sudah berada di situ," katanya.

Najib berkata beliau agak terkejut dengan kehadiran Jho Low namun tahu mengenai pengaruh serta rangkaian hubungan  ahli perniagaan itu terutama hubungan rapatnya dengan keluarga diraja dari Timur Tengah, jadi perkara tersebut bukanlah sesuatu yang di luar jangkaan.

Bagaimanapun, Najib berkata sesi minum teh itu berlangsung dalam keadaan santai dan tiada rancangan dibuat untuk 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan PetroSaudi International Limited menjalinkan usaha sama bagi menggelapkan wang berbilion daripada 1MDB seperti yang didakwa oleh saksi pendakwaan.

"Jika terdapat sebarang agenda tersembunyi atau niat jahat, sudah tentu saya tidak akan membenarkan sebarang gambar diambil yang menunjukkan kami bersama dalam suasana sebegitu. 

"Cadangan bahawa kami merancang sesuatu yang licik semasa keluarga dan rakan saya hadir adalah tidak masuk akal dan tidak wajar," katanya.

Bekas Perdana Menteri itu memberi keterangan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah ketika membela diri atas empat pertuduhan menggunakan kedudukan untuk mendapatkan rasuah berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.

Pada 30 Okt lepas, Sequerah memerintahkan Najib membela diri atas kesemua 25 pertuduhan selepas memutuskan bahawa pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap bekas Ahli Parlimen Pekan itu.

Perbicaraan bersambung esok.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan