IPOH, 12 Dis (Bernama) -- Seorang guru penolong kanan kokurikulum mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini hari ini terhadap dua pertuduhan melakukan amang seksual fizikal ke atas seorang murid perempuan di sebuah Sekolah Jenis Kebangsan Cina (SJKC) September lepas.
Bagi pertuduhan pertama Teh Chau Teik, 37, didakwa melakukan amang seksual fizikal bagi maksud seksual, dengan memeluk dari belakang dan mencium kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun pada 6.40 pagi di dalam sebuah kelas di Bandar Baru Sri Klebang dalam daerah Kinta, pada 11 Sept lepas.
Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa melakukan perbuatan itu sekali lagi ke atas murid sama, di kelas yang berbeza, pada 6.40 pagi 26 Sept lepas.
Sehubungan itu dia didakwa di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792) yang boleh dihukum di bawah akta yang sama dan dibaca bersama Seksyen 16 akta yang sama, yang jika sabit kesalahan boleh membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan juga boleh disebat.
Pertuduhan itu dibaca juga bersama Seksyen 16 Akta 792 yang membawa hukuman pemenjaraan maksimum lima tahun dan hendaklah juga disebat tidak kurang daripada dua sebatan, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Qurratu’aini Khalifah, manakala Teh diwakili S. Teeban Kummar.
Hakim Jean Sharmila Jesudason kemudian menetapkan jaminan RM7,000 serta syarat tambahan iaitu perlu melapor diri di balai polis sebulan sekali, serta tidak mengganggu mangsa sehingga kes selesai, dan menetapkan 17 Jan depan sebagai tarikh sebutan semula kes.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial