KUALA LUMPUR, 19 Dis (Bernama) -- Mahkamah Tinggi di sini hari ini membebaskan dan melepaskan Datin Seri Rosmah Mansor daripada 12 tuduhan pengubahan wang haram melibatkan lebih RM7 juta dan lima tuduhan gagal mengisytiharkan pendapatannya kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Hakim K. Muniandy mengeluarkan perintah itu selepas membenarkan permohonan isteri bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak itu untuk membatalkan kesemua tuduhan terhadapnya atas alasan tuduhan tersebut tanpa asas dan pendakwaan tidak mengemukakan sebarang unsur kesalahan dalam tuduhan yang dikenakan.
Rosmah, 73, memfailkan permohonan untuk membatalkan tuduhan tersebut pada September 2023, dan perbicaraan dimulakan pada 12 Dis tahun lalu, selepas sebahagiannya kes ini didengar dengan keterangan daripada dua saksi.
Dalam penghakimannya, Hakim Muniandy berkata pertuduhan terhadap Rosmah gagal untuk menyatakan bahawa beliau terlibat secara langsung dalam transaksi melibatkan hasil haram, serta tidak memperincikan sifat transaksi tersebut atau bagaimana Rosmah terlibat secara langsung.
“Pertuduhan tersebut tidak mendedahkan elemen utama kesalahan pengubahan wang haram, termasuk transaksi berkaitan pengubahan wang haram, tingkah laku tertuduh, dan wang yang dirujuk dalam pertuduhan. Selain itu, pertuduhan tersebut juga tidak menunjukkan transaksi seperti yang dimaksudkan di bawah Akta 613, iaitu Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFA).
“Kegiatan haram yang dikaitkan dengan pertuduhan itu juga tidak dinyatakan, tetapi hasil daripada kegiatan haram tersebut muncul entah dari mana,” katanya.
Hakim itu menambah bahawa, tanpa elemen-elemen tersebut, pertuduhan hanya menggambarkan perbuatan mendepositkan sejumlah wang ke dalam akaun bank, yang pada dasarnya bukanlah satu kesalahan di sisi undang-undang.
“Sebahagian daripada pertuduhan di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967 ada pertindihan kerana tarikh dan jumlah yang dinyatakan adalah sama, tetapi kesalahan yang didakwa dilakukan oleh tertuduh tetap berkaitan pengubahan wang haram, yang mana ia mesti berpunca daripada kegiatan haram boleh dikaitkan dengan pengubahan wang haram tersebut.
--BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial