Polis Tahan Pasangan Kekasih Bantu Siasatan Kes Bunuh Wanita Warga Emas

03/02/2025 06:01 PM

BUTTERWORTH, 3 Feb (Bernama) -- Polis menahan sepasang kekasih bagi membantu siasatan berhubung penemuan mayat seorang wanita warga emas yang dipercayai dibunuh dalam kejadian di sebuah rumah di Pangsapuri Seri Orkid di sini, Jumaat lepas.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Hamzah Ahmad berkata pasangan kekasih berusia 20-an itu ditahan di sebuah rumah di Paya Terubong dekat sini, kira-kira pukul 6.30 pagi hari ini, hasil risikan dan intipan pihak polis.

"Lelaki yang ditahan itu merupakan anak kepada wanita warga emas berusia 60-an yang ditemukan maut dalam kejadian tersebut dan siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengetahui motif sebenar insiden berkenaan," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Menurut beliau, kedua-dua suspek kini direman selama tujuh hari sehingga 9 Feb bagi membantu siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Mayat wanita itu ditemukan selepas jiran-jiran terhidu bau busuk dari rumah mangsa. Pemeriksaan pihak berkuasa seterusnya menemukan mayat mangsa, yang kemudiannya dihantar ke Hospital Seberang Jaya untuk dibedah siasat.

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan