Penjual Jagung Cetus Kontroversi Sudah Minta Maaf - Aaron

17/02/2025 12:37 AM

KUALA LUMPUR, 16 Feb (Bernama) -- Penjual jagung yang mencetuskan kontroversi selepas memaparkan papan tanda berunsur perkauman, telah memohon maaf kepada seluruh masyarakat Malaysia khususnya kaum India atas perbuatannya yang boleh menjejaskan keharmonian.

Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang menerusi hantaran di X berkata peniaga tersebut juga telah berjanji tidak akan mengulangi perbuatan tersebut pada masa akan datang.

“Pemimpin Kawasan Rukun Tetangga (KRT) iaitu Encik Roseman dan Encik Syawal telah menjadi orang tengah dalam menyelesaikan polemik ini.

“Peranan mereka dalam menyelesaikan polemik ini turut memperkukuh keyakinan masyarakat terhadap peranan KRT sebagai agen perpaduan dan penyelesaian masalah. Ini juga menekankan pentingnya kerjasama antara pemimpin komuniti dan pihak berkuasa untuk memastikan suasana yang harmoni dan aman terpelihara,” katanya.

Aaron berkata permohonan maaf tersebut telah diadakan di sebuah restoran di Sepang malam tadi yang turut dihadiri oleh wakil masyarakat India, pempengaruh, wakil penduduk, wakil dari Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional serta pihak polis.

“Saya ingin menegaskan bahawa kita semua harus sentiasa berusaha memastikan bahawa setiap perkataan dan tindakan kita tidak menimbulkan perasaan tidak selesa, ketegangan, atau salah faham dalam kalangan penganut agama, budaya, dan kaum yang berbeza.

“Malaysia sebuah negara yang kaya dengan kepelbagaian etnik dan agama, dan adalah tanggungjawab kita bersama untuk menjaga keharmonian ini. Perpaduan negara hanya dapat dicapai jika setiap individu mengamalkan nilai saling memahami, menghormati, dan menerima perbezaan,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan