KOTA TINGGI, 27 Feb (Bernama) -- Seorang lelaki warga emas didenda RM6,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas dua pertuduhan memiliki senapang patah buatan sendiri dan 108 butir peluru tanpa lesen, minggu lepas.
Omar Busari, 65, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Hayda Faridzal Abu Hasan yang turut memerintahkan hukuman penjara 12 bulan jika gagal membayar denda itu.
Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa memiliki selaras senapang patah buatan sendiri tanpa lesen atau permit senjata di sebuah rumah di Ladang Pasir Panjang, Kota Tinggi kira-kira 12 tengah hari pada 21 Feb lepas.
Bagi pertuduhan kedua, lelaki itu didakwa memiliki 108 butir peluru jenis Bucshot (12 Bore) tanpa lesen atau permit senjata sah pada tarikh, masa dan lokasi sama.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 8 (a) Akta Senjata 1960 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda hingga RM10,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Inspektor Nor Ayu Hidayah M. Safri manakala tertuduh diwakili peguam Nur Afiqah Hambali daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).
Nur Afiqah merayu mahkamah menjatuhkan hukuman denda yang ringan kerana anak guamnya merupakan pesalah pertama, tidak bekerja dan ditanggung anak yang bekerja sebagai pengurus restoran selain menghidap penyakit kencing manis serta darah tinggi.
"Kesalahan tertuduh juga tidak melibatkan sebarang kecederaan," katanya.
Nor Ayu Hidayah memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal untuk memberi pengajaran kepada masyarakat.
Sebelum ini, media melaporkan polis menahan seorang warga emas dan merampas selaras senapang patah laras tunggal buatan sendiri dan peluru jenis buckshot serta pelbagai peralatan membuat senjata di sebuah rumah di Ladang Pasir Panjang, Kota Tinggi, Jumaat lepas.
Siasatan awal polis mendapati warga emas itu bukan sahaja mahir membuat senjata api, tetapi juga menjalankan pekerjaan sambilan membaiki peralatan itu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial