Pekerja Kebun Sirih Didakwa Pandu Kereta Secara Berbahaya

27/02/2025 03:30 PM

KUALA LUMPUR, 27 Feb (Bernama) -- Seorang pekerja kebun sirih mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan memandu kereta secara berbahaya sehingga menyebabkan dua lelaki cedera. 

M. Devindran, 25, didakwa melakukan perbuatan itu terhadap Mahariff Mahali, 41, dan Muhammad Ariff Asraff Jamaluddin, 21, di hadapan sebuah pusat hiburan di Jalan Klang Lama, Brickfields di sini pada 6.18 pagi, 29 Jan lepas.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Nadia Eleena Jamaluddin Akbal tidak menawarkan jaminan namun jika mahkamah ingin memberikan jaminan, pendakwaan memohon jaminan RM20,000.

Peguam T. Mishant yang mewakili tertuduh memohon mahkamah memberikan jaminan atas alasan anak guamnya memberi kerjasama baik kepada pihak polis. 

Hakim Egusra Ali membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan dilarang mengganggu saksi pendakwaan serta menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Beliau menetapkan 16 April ini untuk sebutan kes.

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan